Guna logo sendiri bukan tanda perpecahan - Saarani

Saarani ketika bercakap kepada pemberita pada Ahad.
Saarani ketika bercakap kepada pemberita pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Pendirian Barisan Nasional (BN) untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tidak seharusnya disalah tafsir bahawa kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) akan dihentikan.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan itu bukan menandakan perpecahan sebaliknya membina kebersamaan dan dasar saling percaya sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, seperti yang berlaku dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini yang menyaksikan calon Kerajaan Perpaduan sama ada diwakii BN atau PH bertanding menggunakan logo masing-masing.

"Keadaannya nanti seperti sekaranglah, bila PRK sama ada PH atau BN yang bertanding akan menggunakan logo sendiri kerana Kerajaan Perpaduan ini tidak ada logo sendiri.

"Jadi bukanlah bermakna kita bergerak secara berasingan kerana kalau berasingan maknanya BN bertanding, PN pun bertanding, sedangkan itu tidak berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Perak di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh di sini pada Ahad.

Saarani menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Perak di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh pada Ahad.
Saarani menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Perak di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy dan Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Intergrasi Nasional Perak, A Sivanesan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, perkara paling penting dalam PRU16 itu nanti, setiap parti dalam kerajaan bertanding atas dasar saling mempercayai tanpa berlaku pertindihan kerusi dan pertembungan calon.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberi contoh sekiranya berlaku PRK di Bukit Gantang dan Kuala Kangsar, maka calon BN bertanding menggunakan logo BN dan PH akan terus memberi sokongan terhadap calon berkenaan.

"Itulah keadaan yang sepatutnya perlu difahami. Kita harap jangan dipolitikkan atau dengan sengaja disalah erti," katanya.

Sementara itu, Saarani menyerahkan kepada keputusan Majlis Tertinggi sekiranya terdapat sebarang permohonan sebagai ahli dibuat Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang digugurkan baru-baru ini.

"Itu biar Majlis Tertinggi yang buat keputusan. Perkara ini (terima masuk UMNO) ada pro dan kontra," katanya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Maran dilapor berkata, BN akan menggunakan logo sendiri pada PRU16 biarpun mengadakan kerjasama politik dengan PH.

Beliau menegaskan bahawa kegagalan BN pada pilihan raya lalu tidak menghalang parti itu untuk terus kekal menggunakan lambang terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!