KPM serah kepada polis siasat kes pelajar jatuh dari tingkat 5

Fadhlina Sidek. Laporan Sinar Harian.
Fadhlina Sidek. Laporan Sinar Harian.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang pelajar maut selepas terjatuh dari tingkat lima sebuah sekolah di Kajang, Selangor.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya juga sedang melaksanakan siasatan dalaman untuk membantu pihak berkuasa berhubung kejadian berkenaan.

Tegasnya, KPM tidak berkompromi soal keselamatan pelajar selain sentiasa mengingatkan institusi pendidikan untuk tingkatkan keselamatan dari semasa ke semasa.

“Pertamanya, saya rakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, rakan-rakan dan sekolah dan kita memberi sokongan psikologi sosial kepada mereka.

“Saya fikir ini tak mudah untuk semua pihak kerana kejadian ni berlaku di sekolah dan pada masa sama kita telah pun ambil tindakan intervensi penting pasca kejadian ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Fisioterapi dan Penjagaan Wajah bersama masyarakat setempat di Simpang Ampat di sini.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, seorang pelajar lelaki cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan sekolah di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 5.50 petang.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan mendapati mangsa yang juga pelajar tingkatan 1 didapati terjatuh dari tingkat lima bangunan sekolah berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang bagi rawatan lanjut.

"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan anggota badan akibat kejadian itu," katanya.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.30 pagi Sabtu.

Sementara itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, pihaknya akan tingkatkan usaha dalam isu yang terkait rapat dengan gejala buli.

Katanya, insiden yang berlaku itu sangat mendukacitakan dan pihaknya benar-benar terkesan dengan kejadian terbabit.

“Dalam masa sama kita nak tingkatkan usaha dalam mengatasi isu terkait rapat dengan gejala buli di semua peringkat khususnya dengan garis panduan dan juga peraturan-peraturan yang telah kita tetapkan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!