Banjir kilat: Banyak kenderaan ditenggelami air

Keadaan banjir yang berlaku di Penampang menyebabkan kenderaan penduduk di Taman Seri Vista Kiranau, ditenggelami air.
Keadaan banjir yang berlaku di Penampang menyebabkan kenderaan penduduk di Taman Seri Vista Kiranau, ditenggelami air.
A
A
A

PENAMPANG - Sebahagian penghuni di Taman Seri Vista Kiranau, di sini, terpaksa 'berputih mata' apabila kenderaan masing-masing tidak sempat diselamatkan akibat banjir kilat yang melanda daerah itu pada petang Ahad.

Menurut salah seorang penghuni dikenali sebagai Sabri, 30-an, dia hanya sempat memindahkan kenderaannya di kawasan tempat tinggi sekitar jam 4 petang.

Katanya lagi, hujan berterusan bermula sekitar jam 1 tengah hari menyebabkan dia mulai bimbang dan bertindak cuba memindahkan kenderaannya.

Pengisytiharan bencana bagi kawasan Penampang telah dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
Pengisytiharan bencana bagi kawasan Penampang telah dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

"Bagaimanapun, motosikal tidak sempat diselamatkan dan sudah ditenggelami air. Terdapat kira-kira 20 kenderaan penduduk turut menerima nasib yang sama.

"Setakat ini, bekalan elektrik juga telah terputus di kawasan perumahan ini," katanya ketika dihubungi pada malam Ahad.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkongsi maklumat bahawa Penampang diisytiharkan sebagai kawasan bencana.

Dalam kenyataan PGO Sabah juga, setakat jam 8.50 malam, pasukan bomba telah menerima sebanyak 86 panggilan melibatkan banjir untuk kawasan Tuaran, Inanam, Manggatal dan Penampang.

Artikel Berkaitan:

Operasi menyelamat dilakukan oleh pasukan bomba di kawasan terjejas banjir.
Operasi menyelamat dilakukan oleh pasukan bomba di kawasan terjejas banjir.

"Seramai 55 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP).Tuaran, BBP Kota Kinabalu, BBP Lintas dan BBP Penampang terlibat untuk operasi penyelamatan.

"Kerja penyelamatan masih giat dijalankan di Penampang dan Tuaran, manakala untuk di Kampung Mangsiang, Manggatal seramai 12 penduduk telah dipindahkan ke rumah keluarga dan seramai lapan penduduk di Kampung Rampaian Laut, telah dipindahkan ke rumah keluarga," katanya.

Menurut PGO Sabah, cabaran ketika ini adalah banyak kawasan yang terputus jaringan jalan raya namun dimaklumkan juga keadaan sudah semakin surut.

____________________________________________________________________________________________________________________

H: Ewon pantau banjir, tangguh perjalanan ke KL

PENAMPANG - Banjir kilat yang berlaku di Penampang menyebabkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick terpaksa menangguhkan perjalanannya ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat kementerian dan beberapa program lain pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai situasi banjir di kawasannya ketika ini dan ketidakhadirannya ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

“Sepatutnya saya mengambil penerbangan jam 5.20 pagi esok ke Kuala Lumpur.

"Saya juga telah memaklumkan penangguhan taklimat agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan penggantian saya untuk ditemu bual media malam esok,” katanya kenyataan pada malam Ahad.

Ewon melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang.
Ewon melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang.

Ewon sebelum itu turut memaklumkan beliau telah melakukan lawatan ke pusat kawalan bencana dan pemindahan mangsa banjir di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang, di sini.

“Pegawai Daerah Penampang telah mengisytiharkan pembukaan pusat bencana ini jam 5.25 petang tadi susulan hujan lebat di Penampang sejak jam 1.30 tengahari yang menyebabkan banjir besar di Penampang.

"Pasukan keselamatan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dibantu oleh kelab pacuan empat roda sedang menjalankan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.

"Bagaimanapun, operasi ini juga terkesan akibat arus yang kuat," katanya.

Ewon berkata, berlaku pertembungan air laut pasang dan air sungai menyebabkan limpahan besar banjir berlaku.

“Saya menggunakan kenderaan ahli pacuan empat roda untuk membuat tinjauan sebentar tadi dan melihat banyak kenderaan yang terkandas.

"Saya telah menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada Jawatankuasa Bencana Daerah untuk keperluan berkaitan operasi menyelamat dan keperluan lain di pusat pemindahan bencana," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!