10 cedera, dua selamat dalam nahas libat tiga kereta
KOTA BHARU - Seramai 10 cedera termasuk empat parah manakala dua terselamat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Batu Melintang menghala ke Bukit Gerik, Jeli, pada Ahad.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Penolong Penguasa Bomba Mohd Adni Ibrahim berkata, kesemua mangsa terlibat berusia antara lima tahun hingga 60-an yang menaiki kenderaan jenis Naza Citra, kereta Proton Pesona dan Perodua Axia.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian Malaysia Emergency Response Services 999 berhubung kemalangan itu pada jam 2.58 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Naza Citra dinaiki sekeluarga terdiri tiga lelaki, seorang wanita dan kanak-kanak lelaki, pemandunya cedera parah pada dada akibat tersepit, manakala mangsa lain dalam kereta itu cedera ringan.
“Turut cedera parah, dua lelaki yang menaiki Proton Pesona manakala Perodua Axia yang dinaiki lima wanita melibatkan seorang parah, dua cedera dan dua lagi terselamat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Ahad.
Beliau berkata, operasi menyelamat melibatkan sembilan anggota dari BBP Jeli bersama satu jentera pemadam, van Perkhidmatan Penyelamatan, Perawatan Kecemasan dan kenderaan respon kebakaran.
“Komander operasi melaksanakan kerja-kerja menyelamat dengan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan Rescue Power Unit.
“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jeli menggunakan ambulan bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Tambah beliau, operasi menyelamat mangsa-mangsa tamat pada jam 5.30 petang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!