'Tewaskan pasukan Sanusi, ini petanda baik - Akmal Nasrullah

Akmal (kanan) bersalaman dengan Sanusi sebelum perlawanan bola sepak bermula di Padang Bola sepak Taman Pekatra, Simpang Empat, Sungai Bakap pada petang Ahad.
Akmal (kanan) bersalaman dengan Sanusi sebelum perlawanan bola sepak bermula di Padang Bola sepak Taman Pekatra, Simpang Empat, Sungai Bakap pada petang Ahad.
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Pengarah Strategik PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyifatkan kejayaan menewaskan pasukan pilihan Ketua Pengarah Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor 3-2 pada aksi persahabatan bola sepak sebagai satu petanda baik.

"Alhamdulillah ini petanda baik (pada Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap), Insya-ALLA," katanya semasa meraikan kejayaan bersama penyokong Pakatan Harapan (PH) di di Padang Bola sepak Taman Pekatra, Simpang Empat, dekat sini pada petang Ahad.

Menurut Akmal Nasrullah, mereka menerima permohonan Muhammad Sanusi untuk menyertai perlawanan persahabatan itu pada saat akhir selepas Menteri Besar Kedah itu bersetuju dengan syarat penyertaan yang ditetapkan.

"Kami menerima surat daripada pejabat Menteri Besar Kedah yang secara rasmi memohon menyertai perlawanan ini dan saya mengambil semangat ukhuwah untuk menerimanya.

"Maka di peringkat kami tidak ada halangan. Kami berpandangan bahawa dalam suasana kempen ini sementara mungkin ada kerisauan keselamatan provokasi dan sebagainya, saya yakin jika disusun dengan baik (tidak akan berlaku provokasi).

"Sebab permainan ini di atas padang. Kita bertarung sebenarnya dalam kotak undi," ujarnya.

Jelas Akmal Nasrullah, selepas tamat perlawanan kedua-dua pihak akan kembali kepada kempen bagi menyemarakkan kembali PRK Sungai Bakap.

"Menjadi tanggungjawab kepada kedua-dua pihak untuk menunjukkan teladan baik kepada penyokong masing-masing," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail.

Ia susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff dari Pas yang meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.