Emas AUG barakan semangat Nur Asyikin

Nur Asyikin (tengah) bersama rakan sepasukan ketika aksi menentang Thailand dalam perlawanan akhir acara Mix Triple.
Nur Asyikin (tengah) bersama rakan sepasukan ketika aksi menentang Thailand dalam perlawanan akhir acara Mix Triple.
A
A
A

ATLET petanque negara, Nur Asyikin Roslan berkata, insentif berpasukan berikutan kejayaan meraih pingat emas di Sukan Universiti ASEAN Surabaya Malang 2024 akan dimanfaatkan sebaiknya bagi membiayai kos latihan.

Malah penuntut Universiti Teknologi Mara itu berkata, insentif berkenaan juga suntikan motivasi persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 pada Ogos depan.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pihak yang sudah banyak bertungkus-lumus membantu kami untuk memenangi pingat emas di AUG.

“Bagi saya, ia sangat bermakna kerana secara tidak langsung mampu jadi pembakar semangat untuk ke SUKMA Sarawak 2024.

“Berhubung insentif yang bakal diterima nanti, sudah tentu kami akan gunakan sebaik-baiknya untuk pembelajaran serta membeli peralatan bagi menjalani latihan,” katanya.

Nur Asyikin, kelahiran Negeri Sembilan bersama Sharifah Afiqah Farzana Syed Ali dan Mohamad Muqri Mohamad Sapiny sebelum itu memastikan emas milik kontinjen Malaysia selepas menewaskan Thailand dalam perlawanan akhir acara Mix Triple di Gelanggang Petanque Universitas Negeri Surabaya (UNESA) pada Sabtu.

Pada 21 Jun lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan insentif RM3,000 akan diberikan kepada pemenang pingat emas, RM2,000 (perak) serta RM1,500 (gangsa) temasya AUG Surabaya Malang 2024.

Sebagai rekod, pingat emas dijanakan gandingan Asyikin, Sharifah dan Muqri cukup bermakna apabila merupakan emas pertama skuad petanque negara di AUG 2024.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!