Claudia, wanita pertama Presiden Mexico

Claudia Sheinbaum
Claudia Sheinbaum
A
A
A

MEXICO CITY - Siapa sangka, selepas lebih 200 tahun kemerdekaan Mexico, negara itu akhirnya mencatat satu sejarah baharu dalam sistem pemerintahan apabila Claudia Sheinbaum dipilih sebagai presiden wanita pertama.

Sheinbaum, 61, yang merupakan bekas Datuk Bandar Bandar Raya Mexico berjaya menaiki kedudukan itu selepas meraih kira-kira 60 peratus undi sokongan, sekali gus diisytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden pada 2 Jun lalu.

Kemenangan itu akan membolehkan Sheinbaum menggantikan kedudukan mentornya, Presiden Andres Manuel Lopez Obrador pada 1 Oktober depan.

“Buat pertama kali dalam 200 tahun, Mexico telah memilih seorang wanita sebagai presiden,” katanya sebaik berjaya memenangi pilihan raya berkenaan.

Jelasnya, ini merupakan satu kejayaan bukan untuk dirinya sendiri, tetapi untuk semua wanita.

“Saya telah menegaskan dari mula, ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk kita semua. Saya tidak akan mengecewakan kamu semua,” katanya.

Penyokong Sheinbaum menyertai kempennya di kota Mexico.
Penyokong Sheinbaum menyertai kempennya di kota Mexico.

Sementara itu, beberapa pengundi wanita menyambut baik prospek seorang wanita yang memecahkan ‘siling kaca politik’ tertinggi di negara dengan kira-kira 10 wanita atau gadis dibunuh setiap hari.

Artikel Berkaitan:

“Seorang presiden wanita akan menjadi transformasi untuk negara ini, dan kami berharap beliau melakukan lebih banyak lagi untuk kaum wanita,” kata seorang tukang cuci dari Bandar Raya Mexico, Clemencia Hernandez.

Dalam pada itu, seorang pengundi, Sheinbaum bagaikan tidak percaya bahawa Mexico akhirnya memperoleh seorang presiden wanita.

“Saya tidak pernah membayangkan suatu hari nanti saya mendapat seorang presiden wanita,” kata Edelmira Montiel.

SIAPAKAH CLAUDIA SHEINBAUM?

Beliau dilahirkan di Kota Mexico pada 1962, berketurunan Yahudi Ashkenazi dan Sephardic.

Menjadi Datuk Bandar Bandar Raya Mexico selama lima tahun sehinggalah meletakkan jawatan pada Jun lalu bagi bertanding merebut jawatan presiden.

Sheinbaum dikenali dengan julukan ‘La Doctora’ kerana sangat berprestasi dalam bidang akademik, di samping dikenali sebagai saintis iklim.

Beliau yang juga masa mudanya seorang yang aktif terlibat dalam politik mahasiswa ketika di kampus merupakan pemenang Hadiah Nobel.

Sheinbaum ketika memberi ceramah dalam satu kempen pilihan raya.
Sheinbaum ketika memberi ceramah dalam satu kempen pilihan raya.

Laporan media antarabangsa mendedahkan bahawa sosok wanita berani ini seorang yang senang didampingi selain seorang bersikap tenang meskipun berhadapan dengan krisis.

Menurut seorang profesor dari Universiti Of Southern California Amerika Syarikat (AS), Pamela Starr, Sheinbaum juga mempunyai sikap berbeza dengan mentornya iaitu Presiden Andres Manuel Lopez Obrador.

“Dia bukan bersikap populis, kurang ideologi, dan lebih bersikap seperti pemimpin politik sayap kiri arus perdana,” katanya.

Sementara itu, sahabat Sheinbaum semasa belajar di universiti di Mexico mendedahkan bahawa sepanjang mengenai wanita itu selama 27 tahun, dia menyifatkan personaliti dan pembawaan politik sahabatnya itu sangat berbeza dengan tokoh politik lain di negaranya.

“Beliau sangat mencintai Mexico, tidak terlampau mempunyai cita-cita politik seperti kebanyakan pemimpin di negara ini, bahkan beliau tidak terlihat seperti ahli politik tradisional Mexico,” katanya.

Sheinbaum ketika memenangi pilihan raya tersebut telah berjanji untuk meneruskan dasar pendahulunya, termasuklah pencen untuk semua warga emas, biasiswa untuk lebih 12 juta pelajar dan baja percuma untuk pemilik ladang kecil.

Selain meneruskan dasar berbaik dengan negara jirannya iaitu Amerika Syarikat dan agenda melawan rasuah di samping mentransformasikan negara tersebut. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!