Semakin ramai mudah diserang penyakit

Hampir 1.8 bilion orang dewasa berisiko menghadapi penyakit seperti kanser, strok, demensia dan diabetes kerana kurang bersenam dan keadaan ini semakin meruncing. Foto hiasan 123RF
Hampir 1.8 bilion orang dewasa berisiko menghadapi penyakit seperti kanser, strok, demensia dan diabetes kerana kurang bersenam dan keadaan ini semakin meruncing. Foto hiasan 123RF
A
A
A

SEJAK kebelakangan ini, rakan-rakan di akaun media sosial kerap menaik status berkaitan kesihatan diri selain ada yang pergi menemui Ilahi terutamanya dalam kalangan usia bawah 50 tahun.

Ada yang mengalami masalah penyakit jantung, strok, darah tinggi dan kanser. Ya, penyakit ini tergolong dalam 10 penyakit berbahaya di dunia dengan kadar kematian yang tinggi saban tahun.

Wajah suram dan tangisan ahli keluarga mereka turut mengiringi jenazah di tanah perkuburan.

Kematian yang mengejutkan ini bukan sahaja satu tamparan kepada ahli keluarga yang memerlukan kasih sayang ibu bapa, malah satu kerugian kepada negara yang mendambakan tenaga buruh mahir dan berpengalaman.

Menurut satu laporan, hampir 1.8 bilion orang dewasa berisiko menghadapi penyakit seperti kanser, strok, demensia dan diabetes kerana kurang bersenam dan keadaan ini semakin meruncing.

Kajian baharu daripada penyelidik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta ahli akademik itu mendapati ketidakaktifan fizikal di seluruh dunia meningkat sekitar lima mata peratusan antara 2010 dan 2022.

Secara keseluruhan, hampir satu pertiga orang dewasa (31 peratus) di seluruh dunia tidak cukup bersenam, meningkat daripada 23 peratus (900 juta orang) pada tahun 2000 dan 26 peratus pada 2010.

Jika trend semasa berterusan, pakar meramalkan menjelang 2030, kira-kira 35 peratus orang tidak akan melakukan senaman yang mencukupi.

Artikel Berkaitan:

Penyelidikan menunjukkan bahawa kekurangan senaman meningkatkan risiko penyakit jantung, strok, diabetes jenis 2, demensia dan kanser seperti payudara dan usus.

Mengikut perbandingan di Amerika Syarikat, 83 orang meninggal dunia setiap jam disebabkan penyakit jantung dan strok, manakala di Malaysia pula, hampir 50 orang meninggal dunia setiap hari disebabkan penyakit yang sama.

Lebih daripada satu perempat daripada kematian ini boleh dielakkan jika lebih ramai menjaga pemakanan masing-masing, melakukan senaman dan mengelakkan penggunaan produk tembakau.

Strok pula merupakan salah satu penyakit mempengaruhi arteri yang menuju dan keluar dari otak.

Penyakit ini merupakan antara punca utama kematian dan kecacatan di Malaysia dan seluruh dunia.

Sama seperti sakit jantung, hampir 80 peratus kes strok boleh dielakkan jika pesakit mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Faktor risiko seperti obesiti, tidak aktif, minum arak dan penyalahgunaan dadah adalah antara punca strok yang boleh dielakkan.

Lebih membimbangkan, Malaysia sedang berdepan masalah beban berganda malpemakanan dengan peningkatan kadar obesiti di setiap peringkat umur dan masalah kekurangan pemakanan terutama dalam kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun.

Hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan peningkatan prevalen berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak berumur 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 24.6 peratus pada 2012 kepada 30.5 peratus pada 2022.

Malaysia menduduki tangga kedua tertinggi kanak-kanak dan remaja obes di Asia Tenggara.

Ternyata penemuan ini sangat membimbangkan kerana ia menunjukkan trend peningkatan prevalen berlebihan berat badan dan obesiti dan amalan corak pengambilan pemakanan yang tidak sihat.

Sementara itu, WHO menyatakan, berdasarkan perbezaan jantina, wanita secara konsisten kurang bersenam berbanding lelaki, dengan kadar ketidakaktifan 34 peratus berbanding 29 peratus.

Justeru, WHO mengesyorkan orang dewasa melakukan 150 minit aktiviti fizikal intensiti sederhana atau 75 minit aktiviti fizikal intensiti tinggi setiap minggu.

Terdapat lima senaman asas yang boleh dilakukan di mana sahaja. Ia juga sangat efektif kerana membantu pembakaran lemak dengan cepat kerana membabitkan pergerakan keseluruhan badan.

Aktiviti tersebut ialah berjalan, mencangkung, squat, tekan tubi, lompat tali dan lari pecut.

Justeru, bagi menurunkan statistik pesakit berbahaya di negara ini, amalan bersukan dan aktiviti yang menjurus kepada kesihatan seperti mendaki gunung perlu disuburkan.

* Mohd Nasri Jamaludin ialah Editor Pengisian Sinar Online

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!