Bangkit ketengahkan isu politik pejabat
SHAH ALAM - Novel baharu terbitan Grup Buku Karangkraf berjudul Bangkit mengetengahkan isu politik pejabat yang menggambarkan realiti kehidupan dihadapi oleh sesetengah masyarakat.
Penulisnya, Suri Mawarne Kaidar, 42, berkata, novel genre Karangkraf Literature (K-Lit) itu diilhamkan daripada pengalaman beliau ketika bekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT) selama 10 tahun.
Menurutnya, plot penciptaan karya itu turut menyelitkan bidang pertanian diinspirasikan oleh abangnya selain persoalan dalam menyelesaikan konflik yang datang bertimpa-timpa kepada watak utama.
“Sebahagian besar novel ini diinspirasikan semasa pengalaman saya di tempat kerja tetapi saya tidak bekerja dalam syarikat yang toksik, saya cuma kembangkan sedikit sebab pernah bekerja dalam bidang sama.
“Cerita ini berkisar tentang Izzat yang pada asalnya seorang pengurus projek di syarikat IT tetapi telah dipecat dengan notis 24 jam disebabkan sabotaj oleh rakan sekerjanya menyebabkan dia ambil keputusan pulang ke kampung dan menukar ke bidang pertanian.
“Dia menanam pokok pisang tetapi nasibnya malang kerana disabotaj juga menyebabkan dia jatuh terduduk. Jadi, persoalan di sini bagaimana dia bangkit semula dalam kehidupannya dan melawan dua perkara dalam masa yang sama,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Suri Mawarne memberitahu, penulisan novel itu yang memakan masa tiga bulan untuk disiapkan dan menjadikan golongan remaja dan dewasa sebagai sasaran berikutan jalan penceritaan yang tidak terlalu berat untuk difahami.
Ujar beliau, karya tersebut dihasilkan untuk memberi inspirasi atau ‘jalan’ kepada pembaca agar tidak mudah berputus asa walaupun pelbagai ujian menimpa mereka.
“Watak utama novel ini dalam lingkungan 30-an tetapi cerita yang digarap tidaklah terlalu berat atau ringan.
“Niat saya untuk memberi inspirasi kepada mereka di luar sana yang terpaksa bertukar bidang dan ingin menunjukkan ia bukan satu-satunya jalan terakhir.
“Berdasarkan maklum balas oleh pembaca, golongan yang sudah bekerja kata isu ini berhubung kait dengan situasi mereka sebab ada yang jalan penceritaan pun lebih kurang sama dengan kehidupan mereka,” ujarnya.
Tambah Suri Mawarne, beliau turut menggunakan latar di Banting, Selangor untuk mempromosikannya sebagai tempat yang boleh dilawati.
“Walaupun saya tidak menyebutnya secara jelas tempat tersebut tetapi saya menggambarkan bagaimana keindahan Banting supaya pembaca dapat menggunakan imaginasi mereka membayangkan keindahan kampung terbabit,” ujarnya.
Mereka yang berminat untuk membaca dengan lebih lanjut boleh membuat pembelian novel ini menerusi laman web Karangkraf Mall, www.karangkrafmall.com.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!