Cikgu Fie tidak kenal erti putus asa

Farizah ambil keputusan buka kedai di kawasan Felda Palong 8.
Farizah ambil keputusan buka kedai di kawasan Felda Palong 8.
A
A
A

JEMPOL - Pernah kehilangan wang sehingga RM27,000 akibat terpedaya dengan skim simpanan ‘kutu ekstra’ beberapa tahun lalu, seorang pengusaha bakeri di sini masih mampu mempertahankan kerjaya yang diminatinya itu walau modalnya hangus.

Farizah Jaafar, 42, atau mesra dipanggil Cikgu Fie berkata, perniagaan yang diusahakan lebih 15 tahun itu sudah tentu ada turun naiknya, malah hampir gulung tikar terutamanya ketika proses pulih daripada pandemik Covid-19.

“Sepanjang tempoh itu saya belum pernah kenal erti putus asa. Dari dahulu idea sentiasa datang mencurah-curah sampai penuh otak. Saya kalau nak buat sesuatu, mesti semangat buat sampai jadi, sampai jadi ikutan.

Antara pelanggan yang datang ke Warong Kek & Kopi milik Farizah.
Antara pelanggan yang datang ke Warong Kek & Kopi milik Farizah.

“Tetapi perasaan itu pernah tiba-tiba hilang susulan diuji dengan jualan kek tidak memberangsangkan dan tidak terjual walaupun harganya sudah diturunkan berganda-ganda,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujarnya, disebabkan situasi berkenaan, dia terpaksa memikirkan strategi baharu kerana perniagaan itu adalah punca pendapatannya selain menjadi tenaga pengajar bakeri dan mengajar cara memborong dari China.

Pelbagai pilihan makanan dan manisan yang dijual oleh Farizah.
Pelbagai pilihan makanan dan manisan yang dijual oleh Farizah.

“Selepas membuat solat istikharah, ALLAH beri bayangan saya perlu tutup kedai (premis perniagaan) dan buat dari rumah mengikut permintaan sahaja sambil buat road tour mengajar kelas hands on.

Artikel Berkaitan:

“Sebab kalau di kedai, sebulan wajib ada RM4,000 untuk bayar sewa, utiliti dan pekerja. Ini tidak termasuk modal dan gaji sendiri. Sedangkan nak jual kek sebiji sehari yang harga RM15 pun susah ketika itu.

“Saya tidak minta banyak, hanya mahukan doakan daripada semua orang agar dipermudahkan segala urusan sebab hidup ini keras. Bukan senang nak senang tanpa air mata yang berlinang,” katanya.

Farizah ketika menyiapkan tempahan roti john.
Farizah ketika menyiapkan tempahan roti john.

Ujarnya, kini perniagaannya telah bertukar lokasi dari Bandar Seri Jempol ke Felda Palong 8 iaitu berhampiran kediamannya di kawasan Felda berkenaan, sekali gus memberi nafas baharu dalam perniagaannya dengan nama Warong Kek & Kopi.

“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor. Alhamdulillah ini keputusan yang tepat walau pada awalnya bimbang tidak mendapat sambutan. ALLAH dah tentukan rezeki masing-masing, kita usaha sahaja.

“Di sini saya masih menjual pelbagai manisan,biskut, kek termasuklah roti john. Orang kata boleh jadi tempat lepak-lepak port budak-budak sekolah petang-petang sambil minum kopi dan kuih, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Suasana Warong Kek & Kopi di waktu malam.
Suasana Warong Kek & Kopi di waktu malam.

Ujarnya, harga makanan dan minuman yang dijual di warungnya juga berpatutan sesuai dengan kawasan perkampungan Felda di situ.

“Ketika ini juga saya sedang fokus terhadap perniagaan bagi segmen pengeluaran produk tulen (OEM). Mereka yang berminat untuk ada produk jenama sendiri kami boleh uruskan pengeluarannya di sini, sama ada kek, biskut atau pelbagai manisan lain,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!