X70 terima anugerah Kereta Terbaik 2019
MODEL kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 yang rasmi dilancarkan pada Disember 2018 dinobatkan sebagai Kereta Terbaik Keseluruhan 2019.
Pengiktirafan berprestij pada Anugerah Kereta Tahunan Malaysia ke-18 itu merupakan pencapaian kali pertama model Proton.
Dalam kenyataan medianya, Proton memaklumkan SUV segmen C serba mewah dan paling popular di Malaysia itu turut menggondol pengiktirafan dalam kategori SUV lima tempat duduk saiz sederhana.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton (CEO), Dr Li Chunrong diberi penghormatan sebagai Individu Automotif Tahun Ini.
"Melalui pengiktirafan ini sekali gus menjadikan Chunrong, CEO Proton ketiga yang menerima penghargaan berkenaan.
"Selain itu, Proton Saga baharu yang menerima peningkatan baru-baru ini juga turut menerima anugerah sebagai Sedan Peringkat Permulaan atau Hatchback. Saga baharu menarik banyak perhatian sejak dilancarkan pada 6 Ogos tahun lalu," kata kenyataan tersebut.
Menurut Proton, sehingga kini, lebih 42,000 tempahan telah diterima dan sejak dua bulan terakhir 2019, Saga menjadi sedan segmen A yang paling laris di Malaysia.
Kesimpulannya, pencapaian terbaru yang diraih Proton turut merangkumi peningkatan jualan sebanyak 55.7 peratus pada 2019 iaitu kepada 100,821 unit.
Pencapaian itu termasuk penubuhan 120 cawangan 3S/4S yang paling banyak bagi mana-mana jenama kereta di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!