Bekas ADUN perjelas punca masalah bekalan air di Mukim 5 berlarutan
SUNGAI BAKAP - Masalah kekurangan sumber air di negeri ini yang hanya bergantung dari Sungai Muda antara punca menyebabkan gangguan bekalan terjadi di kawasan Mukim 5, Sungai Bakap selama ini.
Selain itu, perbezaan pentadbiran di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan sebelum ini juga antara faktor utama masalah berkenaan tidak dapat diselesaikan hingga berlarutan bertahun lamanya.
Perkara itu didedahkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Datuk Amar Pritpal Abdullah yang menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan selama sepenggal dari 2018 hingga 2023.
Menurutnya, sebagai bekas ADUN yang dipilih rakyat, beliau telah sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk penduduk Sungai Bakap, namun tidak menafikan terdapat kekurangan dalam isu air.
"Tuan-tuan kena balik berfikir yang Pulau Pinang memang berdepan masalah kekurangan air. Di Pulau Pinang sumber air datang daripada Sungai Muda dan itu adalah satu-satunya sumber sahaja.
"Loji rawatan air di Bukit Panchor pula tidak dapat membekalkan air yang mencukupi.
"Sebenarnya ini disebabkan tekanan air tidak dapat sampai ke hujung paip di Sungai Duri dan kawasan Seruling Emas, namun masalah yang berlaku cuba diatasi oleh kerajaan negeri melalui beberapa pelan penyelesaian," katanya ketika berucap pada ceramah perpaduan di Sungai Kechil, di sini pada Ahad.
Ketua Cabang PKR Nibong Tebal itu berkata, antara kaedah penyelesaian yang dilakukan sebelum ini termasuk melancarkan projek pemasangan pam di Rumah Pam Permatang Tinggi namun pendekatan itu tidak berjaya selepas masalah bekalan air di kawasan lain pula terjadi apabila ia mula dibuka.
Jelasnya, kaedah kedua yang dilaksanakan kerajaan negeri dengan membina Loji Rawatan Air sementara di Sungai Duri yang mampu menyalurkan bekalan air dan menyelesaikan masalah melibatkan 123 buah rumah di kawasan berhampiran.
"Tetapi masalah yang ada lagi adalah di Taman Widuri, Mukim 5. Ini bukannya masalah perkauman, jangan libatkan masalah air dengan masalah perkauman dan jangan kata DAP tak selesaikan masalah ini disebabkan kaum...itu silap.
"Tapi kerajaan negeri telah mengusahakan langkah ketiga iaitu projek LRA Bukit Panchor yang dilihat akan menyelesaikan masalah air bukan sahaja di kawasan Mukim 5 tetapi seluruh daerah Seberang Perai Selatan tidak lama lagi," katanya.
Dalam pada itu, Amar berharap penduduk Sungai Bakap memahami peranan serta tanggungjawabnya sebelum ini yang dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jelasnya, disebabkan tanggungjawab berkenaan, ia membataskan tugasnya untuk membangkitkan dan berbahas isu masalah air yang dialami oleh penduduk Sungai Bakap sebelum ini.
Bagaimanapun jelasnya, isu berkenaan telah dibawa oleh ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan ADUN Jawi, Jason Hng Mooy Lye bagi dibincangkan di dalam sidang DUN.
"Sebagai Timbalan Speker saya tak boleh berbahas di dalam dewan, harap orang-orang Sungai Bakap faham.
"Tapi kalau tuan-tuan dan puan-puan tengok balik, suara saya mengenai permasalahan ini dibawa oleh Yang Berhormat (YB) Goh Choon Aik dan YB Jason untuk diberi perhatian oleh kerajaan negeri," katanya lagi.
Isu bekalan air di Mukim 5 di sini antara isu menjadi tumpuan dalam kempen PRK Sungai Bakap ketika ini.
Sebelum ini, penduduk mendakwa masalah yang berlarutan sejak enam tahun lalu gagal di tangani dengan baik kerjaan negeri dan syarikat operator air hingga menafikan hak mereka mendapatkan bekalan air sempurna seperti penduduk lain.
Dalam kempen PRK Sungai Bakap, kedua-dua calon yang bertanding iaitu Dr Joohari Ariffin dari Pakatan Harapan dan Abidin Ismail dari Perikatan Nasional menjadikan masalah air sebagai fokus utama yang akan diselesaikan sekiranya mereka dipilih menjadi wakil rakyat pada 6 Julai depan.
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!