[VIDEO] Matrikulasi: Kuota bumiputera, Melayu dipertahankan

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Di sebalik jaminan diberikan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memasuki program matrikulasi tanpa mengira kaum, kerajaan bertegas mempertahankan kuota bumiputera dan Melayu sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kuota itu harus dikekalkan kerana keputusan tersebut telah lama dibuat dan dikaitkan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan serta jaminan masa depan bumiputera Melayu agar tidak berlaku kesenjangan.

"Tiap kali kerana kita ada kuota bumiputera, kadang-kadang dijadikan isu keterlaluan, di satu pihak nak menafikan hak minoriti, satu pihak lagi mahu pertikai prinsip Perlembagaan dan jaminan kepada bumiputera terutama secara nisbi dalam kedudukan lebih rendah kerana kemudahan di desa dan miskin bandar," katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan warga Jabatan Perdana Menteri sempena Perhimpunan Bulanan di sini pada Isnin.

Menurut Anwar, sejak pengumuman meritoktasi dibuat Ahad lepas, ia menjadi bualan dan polemik serta menghangatkan suhu politik negara.

"Kita ambil jalan yang dianggap adil dan munasabah, kalau dia itu rakyat dan warga kita, kita harus pelihara tetapi kita juga terima kenyataan mengenai meritokrasi.

"Jadi tanpa mengira kaum dan wilayah, dapat 10A kita beri jaminan tempat di matrikulasi," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, kerajaan tidak boleh menumpukan terhadap meritoktasi semata-mata kerana kedudukan orang miskin akan kekal sedemikian.

"Malaysia mengamalkan berasaskan merit. Ya betul meritokrasi. Tapi saudara minta sekolah Manek Urai bersaing dengan Kolej Melayu Kuala Kangsar yang lengkap dengan prasarana terbaik, itu bukan keadilan.

"Kena ingat, sementara kita setuju prinsip meritokarasi, kita harus pertahan prinsip keadilan.

"Kalau tekan merit saja maka orang yang miskin akan kekal sedemikian," katanya.

Terdahulu ketika berucap di Majlis Kemuncak National Training Week (NTW) 2024 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad, Anwar berkata, kerajaan memutuskan semua pelajar lepasan SPM yang berjaya memperoleh 10A dan ke atas bakal diberikan ruang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi.

Langkah itu bertujuan memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum diberi peluang sama adil dalam mendapat pendidikan lebih tinggi.

Sistem kuota untuk bumiputera dan Melayu dalam pendidikan adalah sebahagian daripada tindakan afirmatif negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!