'Ibu menangis kelaparan terperangkap banjir'
PENAMPANG - Penduduk dari Kampung Pukakon Inobong di sini yang masih terperangkap di rumah akibat banjir merayu supaya bekalan makanan dan minuman air bersih dapat disalurkan segera.
Rayuan itu dikongsikan di ruangan Facebook dalam kumpulan Penampang Voice oleh pemilik akaun Re Cruz yang juga terkandas dan tidak dapat pulang ke kampungnya disebabkan banjir.
Dalam perkongsiannya itu, dia berharap ada pihak yang dapat membantu menghantar makanan dan minuman untuk ibunya yang belum diselamatkan pasukan penyelamat di Kampung Pukakon Inobong.
"Saya baru saja dihubungi ibu, mereka tiada bekalan makan dan minum disebabkan banjir yang teruk. Makanan dan minuman semua tidak dapat diselamatkan, semua hancur dihanyut air banjir.
"Tolong mana-mana pihak boleh bantu salurkan bantuan makanan, minuman air bersih ataupun bantu pindahkan warga Inobong ke tempat yang selamat," katanya.
Pemilik akaun tersebut menyuarakan kebimbangannya jika cuaca kembali buruk dan menyebabkan air banjir meningkat naik.
"Saya sudah hubungi semua, Angkatan Pertahanan Awam (APM) penampang, bomba Penampang, pusat kawalan bencana tetapi semua talian sibuk.
"Saya sedih, ibu hubungi saya tadi menangis kerana mereka lapar," katanya dalam ruangan komen.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!