OKU nyaris maut, leher dikelar penagih

Mangsa yang cedera di leher mendapatkan rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang. Foto tular
Mangsa yang cedera di leher mendapatkan rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang. Foto tular
A
A
A

KLUANG - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) nyaris maut selepas lehernya dikelar seorang penagih dadah dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Taman Kluang Barat di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada kira-kira jam 1.50 petang.

Jelasnya, susulan daripada kejadian itu, seorang lelaki berusia 45 tahun telah ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, sekitar jam 6.15 petang.

"Hasil siasatan awal, suspek mengaku mengelar leher mangsa menggunakan pisau lipat, namun belum diketahui sebab-sebabnya berbuat demikian.

"Hasil semakan, suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing positif dadah jenis Morphine," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, mangsa yang berusia 32 tahun kini mendapatkan rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang kerana kecederaan di bahagian leher.

"Suspek ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh memaklumkannya kepada mana-mana balai polis berdekatan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: