Didakwa minta rasuah, sarjan diarah bela diri

Tertuduh (kiri) tiba di Mahkamah Sesyen untuk mendengar prosiding mahkamah pada Isnin.
Tertuduh (kiri) tiba di Mahkamah Sesyen untuk mendengar prosiding mahkamah pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin memerintahkan seorang polis berpangkat sarjan yang didakwa membabitkan kes rasuah pada lima tahun lalu untuk membela diri.

Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan terhadap tertuduh, Mohd Ameruddin Yusoof, 32, di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 dan 30 Oktober depan sebagai tarikh untuk tertuduh membela diri.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob manakala tertuduh diwakili peguambela Datuk Shukri Mohamed.

Mengikut pertuduhan, tertuduh Sarjan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh didakwa secara rasuah meminta suapan RM5,000 daripada seorang lelaki untuk membebaskan dua individu yang ditangkap atas kesalahan memiliki ketum.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Lembah Semerak, dekat Pasir Puteh, jam 1 tengah hari, pada 1 April 2019.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Pertuduhan kedua, anggota polis itu didakwa memperoleh suapan RM5,000 daripada individu sama untuk membebaskan dua individu yang memiliki ketum lokasi berkenaan di kira-kira jam 6.50 petang.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!