Selamba bawa dadah lebih 15kg dalam kotak mi segera

Norlela (tengah) menunjukkan bungkusan teh selain kotak mi segera yang digunakan suspek di KLIA2, pada 16 Jun lalu.
Norlela (tengah) menunjukkan bungkusan teh selain kotak mi segera yang digunakan suspek di KLIA2, pada 16 Jun lalu.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Cubaan membawa dadah dengan meletakkan di dalam kotak mi segera dan bungkusan teh di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) di sini, untuk mengaburi pihak berkuasa hanya menjerat diri selepas ditahan, baru-baru ini.

Tindakan itu dikesan Cawangan Pemeriksaan Penumpang 2, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah dan anggota Aviation Security Malaysia Airport (AVSEC), 16 Jun lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kotak makanan milik seorang lelaki yang didaftar masuk secara kendiri di kaunter sebuah syarikat penerbangan bagi penerbangan ke Miri, Sarawak pada jam 7 petang.

"Hasil pemeriksaan menjumpai sebanyak 15 mampatan kristal putih disyaki dadah jenis ketamin diisi di dalam bungkusan teh dan dimasukkan ke dalam kotak makanan berlabelkan jenama mi segera kira-kira 15.181 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM760,000," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perkastaman Kargo KLIA di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, suspek dipercayai keldai dadah menggunakan modus operandi terbabit bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, sindiket menggunakan daftar masuk kendiri bagasi untuk mengedar dadah ke lokasi-lokasi lain bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

"Suspek telah direman dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah upah yang diterima suspek," ujarnya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, JKDM Zon Tengah berjaya merampas bungkusan berisi dadah jenis MDMA di dalam satu kotak bungkusan kurier bernilai RM2.5 juta di Zon Bebas Kargo, KLIA Sepang, 19 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Norlela (tiga dari kanan) menunjukkan paparan gambar termos dan dadah yang dirampas susulan rampasan bungkusan dari sebuah negara Eropah, di Zon Bebas Kargo KLIA, Sepang, 19 Jun lalu.
Norlela (tiga dari kanan) menunjukkan paparan gambar termos dan dadah yang dirampas susulan rampasan bungkusan dari sebuah negara Eropah, di Zon Bebas Kargo KLIA, Sepang, 19 Jun lalu.

Tambah Norlela, dipercayai bungkusan itu dari negara Eropah yang dialamatkan kepada satu syarikat tempatan.

"Pemeriksaan ke atas kotak itu menemui 15 termos yang mengandungi pil-pil disyaki dadah jenis MDMA kira-kira 14.663 kg.

"Pihak kastam kini sedang mengesan syarikat berkenaan sama ada wujud atau sebaliknya selain semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!