Karnival kerjaya KPT fokus isu pengangguran, gaji tidak sepadan

Azlinda (kanan) bersama Naib Canselor UUM, Datuk Profesor. Dr. Mohd Fuad Sakdan mendengar penerangan daripada pempamer pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya UUM dan Pelancaran Bulan Kebolehpasaran Graduan Dan Kerjaya Universiti Awam 2024 di Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.
Azlinda (kanan) bersama Naib Canselor UUM, Datuk Profesor. Dr. Mohd Fuad Sakdan mendengar penerangan daripada pempamer pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya UUM dan Pelancaran Bulan Kebolehpasaran Graduan Dan Kerjaya Universiti Awam 2024 di Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.
A
A
A

KUBANG PASU - Isu pengangguran graduan, ketidakpadanan kerja dan gaji permulaan graduan yang rendah akan menjadi fokus kepada pelaksanaan Karnival Kerjaya Universiti Awam 2024.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Azlinda Azman berkata, kadar kebolehpasaran graduan merupakan petunjuk utama terhadap keupayaan ekosistem pendidikan tinggi negara untuk mengeluarkan graduan berkualiti serta memenuhi permintaan industri.

Katanya, semakin tinggi kebolehpasaran graduan, semakin tinggi kualiti graduan yang dihasilkan oleh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berupaya memenuhi permintaan semasa industri dan begitu juga sebaliknya.

"Bagi mengukuhkan kerjasama antara IPT dan industri, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited untuk berganding bahu bersama semua IPT termasuk universiti awam dan swasta untuk mengoptimumkan sumber bakat dalam sektor pendidikan tinggi yang sedia ada," katanya pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya UUM dan Pelancaran Bulan Kebolehpasaran Graduan Dan Kerjaya Universiti Awam 2024 di Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.

Azlinda (tiga dari kiri) bergambar bersama pempamer di salah satu reruai yang mengambil bahagian.
Azlinda (tiga dari kiri) bergambar bersama pempamer di salah satu reruai yang mengambil bahagian.

Menurutnya, pelaksanaan karnival kerjaya oleh 20 universiti awam yang diterajui oleh Pengerusi MyGRAD iaitu Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif akan memfokuskan isu pengangguran graduan, ketidakpadanan kerja dan gaji permulaan graduan yang rendah.

"Justeru, Bulan Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Awam ini diadakan dengan objektif untuk menyediakan platform kepada masyarakat, terutamanya graduan dan juga pekerja mahir yang sedang mencari peluang pekerjaan, mengenali industri dengan lebih dekat dan lanjut lagi.

"Penghargaan juga diberikan kepada Talentbank kerana sentiasa sudi bekerjasama dengan pihak universiti awam dan MyGRAD dalam menyokong agenda kebolehpasaran graduan IPT dalam negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kepincangan yang sedia wujud dalam pasaran buruh diperbaiki bagi memastikan graduan universiti awam dan swasta mendapat gaji yang bermaruah seiring dengan peningkatan produktiviti.

"KPT juga telah mengambil perhatian serius terhadap meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan di peringkat IPT, selain memperhebatkan gerak kerja dan inisiatif di peringkat kementerian dan juga universiti awam.

"Saya percaya bahawa pelbagai aktiviti yang telah disusun oleh semua universiti awam bukan sahaja dapat memanfaatkan semua pengunjung dalam memperoleh penempatan pekerjaan atau latihan industri, tetapi juga untuk mereka yang ingin mengembangkan kerjaya ke tahap yang lebih baik dan juga membantu masyarakat setempat terutamanya dalam golongan B40," katanya.

Azlinda dalam masa yang sama turut mengucapkan tahniah kepada UUM kerana mendapat kadar kebolehpasaran graduan tertinggi berbanding lima tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 94 peratus berbanding 2022 kepada 95 peratus pada 2023.