[VIDEO] Kerajaan tumpu 4 negeri catat kemiskinan lebih paras nasional

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi fokus kepada empat negeri yang merekodkan peratusan melebihi paras nasional iaitu Sabah, Kelantan, Sarawak dan Kedah dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar ketika ini.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, Sabah merekodkan peratusan kemiskinan tegar tertinggi iaitu 1.2 peratus berdasarkan data semasa.

"Dalam usaha menoktahkan kemiskinan di seluruh negara, tumpuan diberikan kepada negeri dan wilayah yang mempunyai peratusan kemiskinan tegar lebih tinggi melebihi paras nasional.

"Sabah merekodkan (kemiskinan tegar) sebanyak 1.2 peratus, diikuti Kelantan (0.8 peratus), 0.4 peratus di Sarawak dan 0.3 peratus di Kedah," katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Hanifah Hajar Taib
Hanifah Hajar Taib

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai negeri disasarkan kerajaan untuk mencapai sifar miskin tegar serta pelan tindakannya.

Dalam pada itu menurut Hanifah Hajar, kerajaan melalui kerjasama rentas kementerian serta agensi melaksanakan program pembasmian kemiskinan tegar bermatlamat untuk meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk terlibat, sekali gus memperbaiki taraf hidup mereka.

Dari segi pelan tindakan, beliau menjelaskan, keutamaan akan diberi untuk memantapkan penyediaan infrastruktur, mengoptimum potensi ekonomi, menambah baik akses perkhidmatan sosial, mempertingkat pembangunan inklusif dan memperkukuh kerjasama antara agen Persekutuan dan negeri.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh ujarnya, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) berhasil membantu 315 isi rumah miskin tegar, miskin dan golongan berpendapatan rendah (B40) di seluruh negara.

"Melalui program IPR, ia memberi manfaat kepada golongan miskin, antaranya melalui inisiatif usahawan makanan. Pada Januari lalu, terdapat peserta yang mengusahakan mesin layan diri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang berjaya meraih hasil jualan bulanan berjumlah RM21,900.

"IPR akan dikembangkan dengan pelaksanaan Inisiatif Usahawan Tani (Intan) di Kelantan. Dalam hubungan ini, dimohon kerjasama kerajaan negeri untuk memberi pajakan tanah, sekurang-kurangnya bagi tempoh lima tahun bagi pelaksanaan program pertanian," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!