PRK Nenggiri: Mohd Azizi beri laluan kepada calon BN-PH tak jejas Bersatu

Sinar Harian melaporkan, Mohd Azizi tidak akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRK DUN Nenggiri yang akan diadakan Ogos ini.
Sinar Harian melaporkan, Mohd Azizi tidak akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRK DUN Nenggiri yang akan diadakan Ogos ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamarudin Md Noor menegaskan tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dan memberi laluan kepada Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) tidak memberikan kesan kepada parti berkenaan.

Beliau sebaliknya berkata, sokongan terhadap parti itu masih lagi kukuh menerusi kerjasama dengan Pas di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).

"Kita akan terus bekerja keras dalam usaha mengekalkan kemenangan pada PRK itu nanti. Soal calon, kita belum putuskan kerana masa masih panjang.

"Proses penilaian ke atas calon sedang dilakukan, sudah pasti individu tersebut akan memberi nilai tambah kepada parti," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Mohd Azizi tidak akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRK DUN Nenggiri yang akan diadakan Ogos ini.

Menurut Mohd Azizi, tindakan itu bagi memberi laluan kepada rakan-rakan seperjuangan dalam gabungan PH-BN untuk bertanding di kerusi yang disandangnya.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan Kerusi DUN Nenggiri kosong bermula dari tarikh berkenaan setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi pada 13 Jun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo Pas menewaskan Ab Aziz Yusof dengan majoriti 810 undi.