Subsidi diesel: Jakoa susun semula proses, elak keciciran Orang Asli
SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyusun semula proses permohonan subsidi bahan api diesel melalui bantuan Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah (PKOAD) bagi mengelakkan tiada istilah keciciran berlaku dalam kalangan Orang Asli yang layak.
Jakoa dalam satu kenyataan berkata, Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) akan membantu meringankan beban kos bahan api yang ditanggung oleh masyarakat Orang Asli dalam menjalankan aktiviti harian dan ekonomi mereka.
Menurutnya, ia turut meliputi mereka yang tidak termasuk dalam kategori Budi Agri-Komoditi dan Budi Individu.
“Jakoa menyambut baik pengumuman pelaksanaan Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) yang melibatkan pemilik kenderaan persendirian individu, petani dan pekebun kecil komoditi.
“Bagi memastikan tidak berlaku ketirisan, pihak Jakoa akan memperkemaskan proses permohonan melalui bantuan PKOAD untuk turun padang,” kata kenyataan itu pada Isnin.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan pelaksanaan Budi Madani melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
Pelaksanaan itu susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia.
Pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak termasuk petani kecil dan pekebun kecil boleh membuat permohonan Budi Madani dibuka mulai 28 Mei 2024.
Penerima yang layak di bawah kedua-dua kategori akan disalurkan bantuan sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Mengulas lanjut, Jakoa memaklumkan bahawa bantuan subsidi bahan api diesel kepada masyarakat Orang Asli akan disalurkan bermula pada 30 Jun 2024 berdasarkan permohonan tuntutan mereka.
“Mengambil kira kekangan dan rintangan masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman, Jakoa akan memperhalusi mekanisma pembayaran bantuan serta menjadi agensi pemudah cara supaya proses tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Jakoa sentiasa komited dalam membantu masyarakat Orang Asli dan berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup mereka,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!