Juru jual rugi RM120,000 diperdaya 'scammer' menyamar polis
KUANTAN - Juru jual kenderaan rugi RM120,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan 'phone scam' menyamar pegawai polis.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mangsa seorang lelaki berusia 27 tahun menerima panggilan telefon dari saspek 27 Jun lalu.
Menurutnya, mangsa diperdaya kononnya dia dikehendaki dan akan ditangkap kerana terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram.
"Mangsa juga 'ditakutkan' bahawa kad bank miliknya dikatakan diguna oleh pihak lain bagi tujuan jenayah," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Noor Hisam berkata, suspek mengarahkan mangsa memuat turun satu aplikasi yang diberikan dan mengisi semua maklumat perbankan bagi tujuan siasatan.
"Mangsa juga turut diarah memindahkan wang ke akaun yang diberikan suspek.
"Mangsa yang panik dan bimbang berdepan tindakan undang-undang akur dengan arahan suspek apabila memindahkan RM120,000 wang simpanannya ke akaun suspek seperti diarahkan sebelum menyedari ditipu," katanya.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan.
"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon meragukan yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!