Operasi bersepadu besar-besaran bas persiaran esok

Anthony Loke( kiri) mengadakan sidang media di kementeriannya hari ini berkaitan status pelaksanaan permit kemasukan kenderaan motor asing ke Malaysia (VEP), penurunan kadar fi bagi mencetak sijil pemilikan kenderaan (VOC) dan tempoh pemeriksaan berkala kenderaan institut memandu. Foto Bernama
Anthony Loke( kiri) mengadakan sidang media di kementeriannya hari ini berkaitan status pelaksanaan permit kemasukan kenderaan motor asing ke Malaysia (VEP), penurunan kadar fi bagi mencetak sijil pemilikan kenderaan (VOC) dan tempoh pemeriksaan berkala kenderaan institut memandu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan operasi bersepadu besar-besaran terhadap bas persiaran di seluruh negara bermula pagi esok.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah tersebut bagi mengesan sebarang salah laku dan ketidakpatuhan undang-undang yang dilakukan operator bas persiaran.

"Kita telah mengeluarkan notis kepada mereka dan operasi ini akan dilakukan bermula jam 6 pagi esok di kawasan tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar berkaitan status pelaksanaan permit kemasukan kenderaan motor asing ke Malaysia (VEP), penurunan kadar fi bagi mencetak sijil pemilikan kenderaan (VOC) dan tempoh pemeriksaan berkala kenderaan institut memandu di Kementerian Pengangkutan di sini pada Isnin.

Sabtu lalu, dilaporkan dua penumpang maut selepas bas persiaran membawa pelancong warga China terbalik di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands, Bentong, Pahang.

Siasatan lanjut mendapati pemandu bas berusia 32 tahun itu tidak mempunyai lesen memandu selain mempunyai 27 saman trafik lampau membabitkan pelbagai kesalahan.

Sementara itu, Anthony berkata, semakan pihaknya turut mendapati permit operasi bas tersebut telah tamat tempoh sejak pada 16 Februari lalu yang mana usia bas telah melebihi 15 tahun.

"MOT memandang serius kepada insiden kemalangan ini yang jelas menunjukkan pengendali syarikat bas persiaran ini tidak mengikut undang-undang, membenarkan pemandu tiada lesen dan bas melebihi usia permit," tegasnya.

Ujar beliau, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat berkenaan untuk menjawab dalam tempoh tiga hari.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah mengarahkan APAD mengambil tindakan paling tegas terhadap syarikat pengendali kerana ini adalah satu ketidakpatuhan undang-undang yang amat jelas, bas tiada permit, pemandu tiada lesen dan menyebabkan kemalangan kehilangan dua nyawa dan sudah tentu menjejaskan imej negara kerana melibatkan pelancong asing," katanya.

Tambah beliau, pihaknya bercadang untuk mengambil tindakan di bawah seksyen 42 (2) Akta APAD 2010.

"Seksyen ini akan diguna oleh JPJ untuk menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan pendakwaan terhadap pemegang lesen.

"Selain pemandu, syarikat pengendali iaitu pemegang permit dan lesen bas pelancong juga mesti bertanggungjawab dan kita juga akan mengambil tindakan," jelas Anthony.

Sementara itu ditanya mengenai perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), beliau berkata, beberapa perincian untuk penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan.

"Memang ada perbincangan minggu ini," katanya.