Nahas Genting Highlands: APAD batal, gantung lesen syarikat bas persiaran

Keadaan bas persiaran membawa 21 penumpang termasuk pemandu yang terbalik di Kilometer 16.5, Jalan Genting Highlands, Bentong pada Sabtu.
Keadaan bas persiaran membawa 21 penumpang termasuk pemandu yang terbalik di Kilometer 16.5, Jalan Genting Highlands, Bentong pada Sabtu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Syarikat bas persiaran yang terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan turun dari Genting Highlands pada Sabtu lepas kemungkinan berdepan hukuman penggantungan atau pembatalan lesen di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), jika didapati bersalah.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, semakan awal mendapati bas persiaran itu dilesenkan di bawah syarikat M Kumar Trans Tour Sdn Bhd dan APAD sedang bekerjasama dengan agensi terlibat bagi mendapatkan laporan lengkap.

"Tindakan awal juga telah dibuat dengan memanjangkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pihak syarikat bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian.

"Sekiranya hasil siasatan dan laporan yang diterima mendapati berlaku sebarang perlanggaran syarat lesen perkhidmatan oleh pihak syarikat, APAD boleh mengambil tindakan tegas sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah Seksyen 45 Akta 715,” menurut APAD.

APAD turut menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap kesalahan melibatkan pengangkutan awam darat yang dipandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan.

Dalam insiden pada jam 11 pagi itu, dua lelaki warga China maut manakala 19 penumpang lagi terselamat selepas bas persiaran dinaiki dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan di kilometer 16.5 Jalan Turun Genting Highlands.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar dilaporkan berkata pemandu bas persiaran berusia 32 tahun itu didapati tidak mempunyai lesen memandu selain mempunyai 27 saman trafik lampau membabitkan pelbagai kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan: