Isu kereta terbiar di Melaka, MBMB akan jumpa penganjur
MELAKA - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengadakan pertemuan bersama penganjur Uptown Pahlawan Walk di Banda Hilir di sini, berhubung isu kenderaan buruk yang dijadikan stor menyimpan peralatan niaga dalam masa terdekat.
Datuk Bandarnya, Datuk Shadan Othman, berkata, pertemuan itu bagi berbincang dan mencari solusi terbaik dalam menyelesaikan isu tersebut.
Menurutnya, sekali gus membersihkan imej pelancongan negeri Melaka dari persekitaran yang menyakitkan mata itu.
"Penganjur akan dipanggil untuk kita bersama mencari apakah penyelesaian yang sesuai supaya perkara ini tidak berpanjangan lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Melaka pada tahun ini.
"Sebelum ini mereka beroperasi di tapak lama di parkir hadapan Plaza Mahkota namun telah berpindah ke tapak baharu itu sejak 12 Januari lalu selain mereka hanya berniaga pada hujung minggu sahaja," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.
Media sebelum ini menyiarkan dakwaan beberapa peniaga dan pengunjung kawasan ikonik pelancongan negeri itu apabila lebih 10 kenderaan peniaga pasar malam yang terbiar di situ sejak lebih enam bulan lalu.
Peniaga restoran yang enggan dikenali berkata, sudah berpuluh rungutan diterima daripada pelanggan yang sukar mendapatkan parkir di kawasan berkenaan sehingga mereka terpaksa membatalkan niat ke lokasi utama pelancongan itu.
Selain itu tinjauan turut mendapati beberapa kenderaan yang boleh dikategorikan ‘besi buruk’ tersadai di parkir kereta yang diletakkan peralatan niaga.
Terdapat juga kereta yang telah rosak akibat cermin hadapan dan belakang pecah selain notis kompaun sudah lusuh dalam tempoh enam bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!