[VIDEO] Kesuma bentang kerangka penambahbaikan Suruhanjaya Pekerja Gig

A
A
A

SUNGAI BAKAP - Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan membentangkan kertas dasar berhubung penambahbaikan kerangka kerja penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig kepada kabinet, bulan ini.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pembentangan kertas dasar tersebut akan dibuat dalam masa satu atau dua minggu lagi.

"Kita akan bentangkan satu kertas dasar tentang penambahbaikan yang telah dilakukan bagaimana kita boleh beri perlindungan kepada pekerja gig terutama menerusi tiga aspek utama.

"Dari segi pampasan upah yang lebih baik, perlindungan keselamatan sosial dan mekanisme kilanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Meraikan Peluncuran Tajaan kepada E-Hailing dan P-Hailing Zon Utara di sini pada Isnin.

Steven ketika hadir ke Majlis Meraikan Peluncuran Tajaan kepada E-Hailing dan P-Hailing Zon Utara, pada Isnin.
Steven ketika hadir ke Majlis Meraikan Peluncuran Tajaan kepada E-Hailing dan P-Hailing Zon Utara, pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, ia tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri sekiranya melibatkan sebarang pindaan atau penggubalan undang-undang sedia ada.

"Bulan lepas saya telah bentangkan kajian awal tentang kebolehlaksanaan suruhanjaya tersebut dan mendapat input daripada jemaah menteri.

Artikel Berkaitan:

"Selepas pembentangan bulan lepas kita kembali di pihak Kesuma untuk menambah baik, mengambil kira pandangan daripada input jemaah menteri pada hari itu," katanya.

Jelas beliau, pekerja gig tidak tertakluk kepada Akta Kerja 1955 dan sebarang aduan tidak boleh dibuat kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Dalam perkara ini, harus melihat apa definisi terbaik kepada pekerja gig, sebab sebelum masuk kabinet kita dah buat sesi libat urus dan mereka sebenarnya tidak mahu ditakrifkan sebagai pekerja konvensional, jadi perlu seimbangkan satu pihak dia bukan pekerja konvensional dan satu pihak lagi kebajikan perlu dijaga.

"Apa yang kita lakukan adalah kita letak 'benchmark' negara-negara serantau yang mempunyai undang-undang atau garis panduan serupa dan amalan terbaik di serata dunia," katanya.

Dalam pada itu, katanya, penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig membolehkan saluran formal diwujudkan bagi mengendalikan isu pekerja membabitkan aduan kilanan, penentuan kadar upah dan lain-lain berkaitan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig disegerakan bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig di seluruh negara.

Ia meliputi tumpuan memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!