PATI bayar RM2,000 dicekup di kawasan bakau

Enam PATI ditahan di kawasan bakau di Tanjung Rhu, Pulau Carey pada Isnin.
Enam PATI ditahan di kawasan bakau di Tanjung Rhu, Pulau Carey pada Isnin.
A
A
A

KUALA LANGAT - Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai baharu mendarat di kawasan bakau di Tanjung Rhu, Pulau Carey dekat sini selepas menyeludup masuk menaiki bot menggunakan khidmat sindiket ditahan pada Isnin.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, seramai enam PATI warga Indonesia termasuk dua wanita ditahan kira-kira jam 3 pagi.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan oleh sepasukan Unit Gempur Marin (UNGERIN) Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang menerusi Op Taring Gelora bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran.

"Siasatan mendapati kesemua PATI menaiki bot laju dari Dumai, Indonesia ke Malaysia dan semasa ditahan mereka sedang menunggu transporter.

"Kesemua migran tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai baharu masuk ke Malaysia dan tiba di kawasan bakau," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, bayaran yang dikenakan oleh sindiket kepada PATI terbabit untuk masuk ke Malaysia adalah 5 hingga 8 juta Rupiah (kira-kira RM1,500 hingga RM2,000).

Tambahnya, kesemua tangkapan berusia lingkungan 30 hingga 40-an dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Jelasnya, fokus operasi ini adalah berkaitan elemen penyeludupan migran yang dipercayai masuk dari Indonesia untuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut di kawasan Pulau Carey.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!