Langgar pelajar: DSP Nazri mohon dibenar ikat jamin

Mohd Nazri, 45, sebelum ini membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Mohd Nazri, 45, sebelum ini membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
A
A
A

IPOH - Mahkamah Tinggi Ipoh pada Isnin menetapkan 1 Ogos depan sebagai tarikh pendengaran permohonan ikat jamin pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak yang berdepan pertuduhan membunuh pelajar lelaki tingkatan lima, tahun lalu.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet memutuskan tarikh tersebut selepas pihak pembelaan menyerahkan afidavit pendek bagi membolehkan permohonan jaminan ke atas tertuduh.

Beliau turut mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan penghujahan bertulis serta hujahan balas secara serentak sebelum atau pada tarikh pendengaran tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Nasrul Hadi Abdul Ghani, Geetha Jora Singh dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili Peguam, Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau dan Lim Jin Wen.

Hadir sama, Peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Yasmin Khalid.

Mahkamah Tinggi Ipoh pada Isnin menetapkan 1 Ogos depan sebagai tarikh pendengaran permohonan ikat jamin Mohd Nazri yang berdepan pertuduhan membunuh pelajar lelaki tingkatan lima, tahun lalu.
Mahkamah Tinggi Ipoh pada Isnin menetapkan 1 Ogos depan sebagai tarikh pendengaran permohonan ikat jamin Mohd Nazri yang berdepan pertuduhan membunuh pelajar lelaki tingkatan lima, tahun lalu.

Pihak pembelaan dalam afidavit yang difailkan sebelum ini memohon jaminan dibenarkan atas alasan mahkamah mempunyai budi bicara mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah untuk memberikan jaminan bagi kesalahan tidak boleh dijamin.

Pihaknya memaklumkan bahawa tertuduh masih belum didapati bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya oleh mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Pada 14 Mei lalu, Mohd Nazri, 45, membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh antara jam 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pertuduhan ke atas pegawai berpangkat Deputi Superintenden (DSP) dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara minimum 30 tahun hingga 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Mahkamah sebelum ini telah menetapkan tarikh perbicaraan kes selama 30 hari iaitu pada 4 hingga 8 dan 11 hingga 15 November, 2 hingga 6 dan 9 hingga 13 Disember serta 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Januari tahun depan.

Dalam kejadian itu, Muhammad Zaharif Affendi yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMK Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.

Kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu melibatkan kereta jenis Perodua Ativa dipandu pegawai terbabit dengan motosikal jenis Yamaha ditunggangi mangsa.

Difahamkan sebelum kejadian, berlaku keadaan tidak puas hati membabitkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana membuat bising menggunakan motosikal.

Laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!