Budak 5 tahun tunggang basikal maut kemalangan

Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta ketika menunggang basikal di Jalan Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan, di sini pada petang Ahad. Foto PDRM
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta ketika menunggang basikal di Jalan Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan, di sini pada petang Ahad. Foto PDRM
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas basikal yang ditunggangnya dilanggar kenderaan dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Bandar Sri Sendayan, di sini, pada malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian jam lebih kurang 7 malam itu, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia sejam kemudian.

Menurut Mohamad Hatta kejadian itu membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa dipandu lelaki berusia 34 tahun dengan sebuah basikal ditunggang mangsa.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta berkenaan menuju ke pos pengawal taman perumahan terbabit.

"Pada masa sama basikal dinaiki mangsa datang dari arah bertentangan di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum basikal itu dipercayai masuk ke laluan Perodua Ativa menyebabkan pemandunya tidak sempat mengelak lalu dan terus melanggar basikal mangsa," katanya pada Isnin.

Ujarnya, akibat kemalangan, penunggang basikal mengalami kecederaan di badan dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk menerima rawatan.

"Bagaimanapun, pada jam 8.05 malam hari sama, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam rawatan di Zon ICU Hybrid Hospital Tuanku Jaafar Seremban.

"Siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 016-2895801 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ibu bapa atau orang dewasa dinasihatkan untuk mengawasi pergerakan kanak-kanak yang membuat aktiviti di luar rumah terutama yang menggunakan jalanraya supaya perkara tidak diingini dapat dielakkan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!