Sejarah Melaka dipentaskan di Encore Melaka
PENTAS Encore Melaka akan dimeriahkan dengan persembahan teater musim baharu yang akan membawa penonton menyusuri sejarah Melaka bermula Julai ini.
Pengasas Encore Melaka, Datuk Boo Kuang Loon berkata, pentas auditorium yang berputar 360 darjah akan menampilkan pelbagai kisah bumi Hang Tuah sejak 700 tahun lampau.
Menurutnya, persembahan teater selama selama 70 minit itu akan membawa penonton mengimbas kembali sejarah yang semakin dilupakan terutama kepada generasi muda.
"Teater musim baharu ini akan bermula pada Ahad ini dan yakin akan menjadi salah satu tarikan pelancong.
"Menariknya persembahan ini akan menggunakan teknologi kreatif untuk mencerita sejarah itu dan perubahan Melaka yang merangkumi pelbagai etnik," katanya.
Tambahnya, produksi juga akan menggunakan teknologi menerusi aturan imej multimedia moden sekali gus membawa penonton menghayati sejarah Melaka.
Ujarnya, auditorium teater itu menjanjikan pertunjukan memukau dengan menyaksikan persembahan di pentas sepanjang 240 meter yang mengintegrasikan elemen seperti muzik, tarian dan drama dan sebagainya.
"Antara yang akan diceritakan melalui teater ini tentang kedatangan Cheng Ho dengan armadanya pada tahun 1405, Nyonya dan Perkahwinan, Enam Ibu, Wanita Hamil yang mengisahkan penghormatan dan ketabahan mereka sewaktu perang, melambangkan kebangkitan Melaka selain Wau dan Finale," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!