PRK Nenggiri: UMNO Gua Musang serah nama calon dua hari lagi
GUA MUSANG - Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim memberi bayangan senarai nama calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan diserahkan dalam masa dua hari lagi.
Beliau berkata, sejurus diserahkan pucuk pimpinan parti akan membuat pertimbangan sama ada nama yang memperoleh undian tertinggi itu layak untuk menjadi calon dan mewakili Barisan Nasional (BN).
"Insya-ALLAH Ketua Bahagian, Tengku Razaleigh Hamzah akan menyerahkan sendiri kepada Presiden," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pemuda UMNO Kelantan merangkap Ketua Pemuda Bahagian Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani; Ketua Penerangan UMNO Gua Musang, Amran Arifin dan Ketua Wanita UMNO Gua Musang, Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli antara yang disebut akan diangkat sebagai calon BN pada PRK Nenggiri.
Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan Kerusi DUN Nenggiri kosong bermula dari tarikh berkenaan setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi pada 13 Jun lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) lalu Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo Pas menewaskan Ab Aziz Yusof dengan majoriti 810 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!