Kuota kemasukan bumiputera ke pusat matrikulasi kekal terjamin

Orang ramai tidak perlu bimbang kerana kelayakan semua pelajar lepasan SPM yang memperolehi 10A tanpa mengira kaum seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri tetap kekal terjamin. Gambar hiasan (Gambar kecil: Asyraf Wajdi)
Orang ramai tidak perlu bimbang kerana kelayakan semua pelajar lepasan SPM yang memperolehi 10A tanpa mengira kaum seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri tetap kekal terjamin. Gambar hiasan (Gambar kecil: Asyraf Wajdi)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kuota kemasukan pelajar bumiputera ke pusat matrikulasi tidak tergugat dan kekal seperti yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kelayakan semua pelajar lepasan SPM yang memperolehi 10A tanpa mengira kaum seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri tetap kekal terjamin.

Sebaliknya beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, apa yang perlu dibimbangkan sekarang ini ialah mengenai 280,000 pelajar yang gagal SPM atau hanya lulus tanpa kredit.

“Mereka ini yang tercicir dan tidak layak masuk matrikulasi. Itu tidak termasuk 10,160 yang tidak hadir SPM walaupun telah berdaftar dan lebih 30,000 secara purata setahun yang tidak mendaftar untuk mengambil SPM,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, sebab itulah Dasar TVET Negara diwujudkan dengan Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi untuk menyelaras 1,345 institusi TVET di bawah 12 Kementerian yang menawarkan lebih 4,000 pelbagai bidang kemahiran TVET dengan peluang penempatan untuk lebih 250,000 tempat.

“Mara sendiri punya institusi-institusi TVET terbanyak dengan 270 institusi terdiri daripada GiatMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) hinggalah UniKL.

“Hari ini negara sudah mengiktiraf TVET sebagai aliran pendidikan perdana dan tidak lagi memerlukan SPM sahaja sebagai syarat minima untuk bekerja,” katanya

Malah katanya dengan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3, pelajar boleh sambung peringkat diploma, manakala SKM tahap 5 boleh terus sambung ijazah sarjana muda tanpa perlu mengambil SPM.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan pada Ahad memberi jaminan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan cemerlang 10A dan ke atas serta memohon melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai Jemaah Menteri pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan, kuota sedia ada bagi pelajar bumiputera dalam Program Matrikulasi bawah Kementerian Pendidikan (KPM), tidak terjejas dan kekal sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!