TPR positif Covid-19, prosiding bela diri Dr Roland ditangguh

Dr Roland Victor ketika hadir di Mahkamah Sesyen Sepang pada Isnin. Foto Bernama
Dr Roland Victor ketika hadir di Mahkamah Sesyen Sepang pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Prosiding bela diri pengasas The KL Sky Clinic, Dr Roland Victor yang didakwa atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik berhubung vaksin Covid-19, yang dijadualkan selama dua hari bermula hari ini, ditangguhkan ke 23 dan 24 September oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Hakim Ahmad Fuad Othman melapangkan tarikh perbicaraan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Nor Shazwani Abdullah memaklumkan bahawa TPR yang mengendalikan kes itu disahkan positif Covid-19.

"Hari ini ditetapkan perbicaraan hari pertama bela diri (Dr Roland), namun TPR Nurul Farahin Sasarudin disahkan positif Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin bermula 29 Jun hingga 3 Julai.

"Oleh itu, pihak pendakwaan memohon supaya suatu tarikh bicara baharu ditetapkan,” kata Nor Shazwani. Peguam Alicia Nicholson yang mewakili Dr Roland, 42, tidak membantah permohonan pihak pendakwaan itu.

Pada 21 Mac lepas, Ahmad Fuad memerintahkan Dr Roland membela diri atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video bersifat jelik selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 5 Julai 2021, Dr Roland didakwa atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan laman profil Facebook "The KL Sky Clinic" pada 10.30 malam, 7 Februari 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!