Solat istikharah bukan sekadar untuk cari jodoh atau pekerjaan
APABILA seseorang dalam berada dalam situasi dua ‘persimpangan’ atau lebih dalam membuat pilihan jodoh atau pekerjaan, solat sunat istikharah sering kali dilakukan.
Apabila ia dikerjakan, mudahlah untuk mereka membuat pilihan kerana hasilnya seperti kebanyakan tahu, ia didasari petunjuk daripada Ilahi.
Hakikatnya, pendakwah Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikeli sebagai Ustaz Wadi Annuar menjelaskan, solat sunat istikharah itu sebenarnya diajar untuk dilakukan dalam setiap urusan kita.
“Demikianlah yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW kepada para sahabat.
“Bagi orang kita pula, solat istikharah hanya dilakukan bila hendak cari jodoh dan pekerjaan,” tulisnya menerusi hantaran di akaun X miliknya baru-baru ini.
Memperbetulkan salah faham itu, jelas Ustaz Wadi Annuar, solat sunat istikharah sebenarnya merupakan satu cara memohon petunjuk dan jalan yang terbaik dalam apa jua perkara di hadapan.
“Ia adalah satu sunnah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya,”coretnya.
Merujuk artikel disiarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, istikharah bertujuan untuk memohon petunjuk daripada ALLAH SWT.
“Ia dilakukan apabila seseorang ragu-ragu dalam membuat pilihan atau keliru menentukan sesuatu yang terbaik,” katanya.
Ia sebagaimana dinyatakan dalam hadis diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Rasulullah SAW mengajarkan kami tentang memohon pilihan (terbaik) dalam setiap urusan (istikharah) sebagaimana Baginda mengajarkan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda: Jika seseorang daripada kamu menghadapi masalah, maka solatlah dua rakaat yang bukan solat wajib.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, Syeikh ‘Abd Ar-Rahman Al-Mubarakfuri menyatakan, hadis itu menjadi dalil bahawa tidak harus bagi seseorang memperkecilkan apa-apa perkara walaupun ia nampak remeh dan meninggalkan istikharah.
“Berkemungkinan perkara yang dianggap remeh itu nanti pada masa akan datang menjadi mudarat baginya,” katanya.
Dari segi bilangan rakaat, pejabat mufti itu menjelaskan, solat sunat berkenaan boleh dilakukan dua rakaat dan itulah jumlah paling afdal disepakati oleh para ulama empat mazhab.
“Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja kecuali waktu yang diharamkan solat iaitu selepas solat Subuh hingga terbitnya matahari dan selepas solat Asar hingga terbenamnya matahari,” katanya.
Sementara itu, pendakwah Ustaz Haslin Baharim menjelaskan, istikharah yang membawa maksud mencari kebaikan itu berkait rapat dengan hati kita.
“Andai hati seseorang kotor misalnya, mana mungkin dapat petunjuk daripada ALLAH.
“Bagaimanapun, jika hati kita bersih dan bagus iaitu orang yang melaksanakan dan tidak pernah meninggalkan perintah ALLAH, insya-ALLAH selepas solat, DIA akan mempermudah jawapan dan memberikan petunjuk yang mana baik serta tidak baik,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus sebelum ini.
Seperkara lagi, agamawan itu mengingatkan bahawa petunjuk atau keputusan kepada jawapan istikharah tersebut tidak semestinya ‘hadir’ menerusi mimpi.
“Adakalanya ia datang dalam bentuk bayangan dan pemantapan atau ketenangan hati.
“Contohnya kita dapat kerja yang baik, tetapi pendapatannya tidak banyak walaupun sudah lama bekerja. Rasa seperti ingin bekerja sendiri. Kemudian bila lakukan istikharah, dirasakan hati kita berat untuk berhenti di tempat kerja lama dan buat kerja lain. Maka, kita berhentilah dan hantar surat peletakan jawatan,” ungkapnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!