Bolehkah ambil komisen daripada kutipan sumbangan orang ramai?

ADA hadnya komisen yang boleh diambil daripada sumbangan orang ramai untuk kos pengurusan. Foto CANVA
ADA hadnya komisen yang boleh diambil daripada sumbangan orang ramai untuk kos pengurusan. Foto CANVA
A
A
A

SEMINGGU dua ini kecoh mengenai pempengaruh atau influencer yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma orang ramai dengan peratusan yang tinggi.

Apatah lagi pengutip derma daripada orang ramai tersebut dilihat hidup dalam kemewahan yang luar biasa hingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber.

Malah, lebih membimbangkan lagi apabila pempengaruh tersebut didakwa tidak membuat audit terhadap kutipan orang ramai itu dan dikatakan juga tidak menunjukkan gambar atau bukti kutipan tersebut diserahkan kepada penerimanya.

Mengulas mengenai komisen yang diambil daripada kutipan derma orang ramai, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, sebarang penggunaan duit sumbangan perlu mendapat keizinan daripada penderma terlebih dahulu.

NGO perlulah lebih amanah dan telus dalam pengurusan kutipan sumbangan orang ramai agar tidak menimbulkan fitnah. Foto CANVA
NGO perlulah lebih amanah dan telus dalam pengurusan kutipan sumbangan orang ramai agar tidak menimbulkan fitnah. Foto CANVA

“Melainkan untuk perkara yang telah diterima secara uruf (adat atau kebiasaan) seperti penggunaan untuk kos pengurusan.

“Namun jumlah yang digunakan perlulah berdasarkan kos pengurusan sebenar. Menetapkan jumlah peratusan tertentu akan menyebabkan jumlah duit yang digunakan melebihi daripada kos pengurusan yang sebenar.

Artikel Berkaitan:

“Hukum mengambil duit lebih daripada yang diperlukan untuk kos pengurusan sebenar tanpa keizinan daripada penderma adalah haram,” jelasnya dalam artikel Irsyad Hukum siri ke-855: Benarkah NGO (pertubuhan bukan kerajaan) boleh menggunakan 30 peratus daripada duit sumbangan orang ramai.

Menurutnya, jumlah 30 peratus untuk digunakan sebagai kos pengurusan tidak pernah ditetapkan oleh mana-mana pihak termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

“Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) hanya meletakkan panduan umum bahawa kos pengurusan NGO yang baik adalah tidak melebihi 30 peratus daripada belanjawan tahunan.

“Semua pihak yang terlibat dinasihatkan agar menggunakan duit sumbangan orang ramai dengan lebih berhati-hati,” katanya.

Nasihat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, sumbangan tersebut adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh orang ramai untuk dilaksanakan dan setiap sen yang diambil akan dipersoalkan oleh ALLAH SWT di akhirat kelak.

Menurutnya, BNM telah menafikan dakwaan NGO boleh mengambil sehingga 30 peratus daripada sumbangan orang ramai dan menjelaskan NGO tidak tertakluk di bawah bidang kuasa pengawalseliaannya.

SERING melancong turut dikaitkan dengan penyelewengan dana sumbangan orang ramai. Foto CANVA
SERING melancong turut dikaitkan dengan penyelewengan dana sumbangan orang ramai. Foto CANVA

“Bagaimanapun, JPPM dalam Kod Tadbir Urus Baik Pertubuhan menyatakan perbelanjaan pentadbiran NGO hendaklah tidak melebihi 30 peratus daripada belanjawan tahunan.

“Selain itu, turut dinyatakan Ikrar Integriti Pertubuhan yang antaranya (menyebut) tiada ahli-ahli, pekerja atau penderma-penderma yang menggunakan pertubuhan itu untuk kepentingan peribadi,” jelasnya.

Duit sumbangan orang ramai boleh dilihat kepada bab wakalah (seseorang melantik pihak lain sebagai wakil), katanya.

“Seseorang yang diamanahkan untuk mengumpul duit sumbangan merupakan wakil kepada orang ramai bagi menyerahkan duit tersebut kepada saluran yang sepatutnya.

“Seseorang wakil tidak boleh melakukan sesuatu kepada duit tersebut melainkan berdasarkan keizinan daripada orang yang mewakilkan,” hurainya lagi.

Katanya, Imam asy-Syirazi yang merupakan salah seorang ulama mazhab Syafie berkata:

“Wakil tidak memiliki hak untuk melakukan sesuatu melainkan dengan keizinan orang yang mewakilkan sama ada secara lisan ataupun uruf (adat atau kebiasaan) kerana tindakan wakil perlu dengan izin (orang yang mewakilkan). Oleh itu, dia tidak boleh memiliki (hak untuk melakukan sesuatu) melainkan dengan izin.”

Mengenai duit sumbangan yang dikhususkan untuk tujuan tertentu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan ia tidak boleh digunakan melainkan untuk perkara-perkara yang telah dikhususkan.

“Hal ini seperti yang telah dinyatakan oleh Syeikh Al-Jamal: “Jika seseorang memberi kurma untuk berbuka puasa maka hendaklah digunakan hanya untuk tujuan tersebut berdasarkan yang zahir. Tidak harus menggunakannya untuk tujuan yang lain melihat kepada kehendak orang yang memberi.”

“Sebahagian institusi fatwa meletakkan isu ini sama dengan hukum harta waqaf. Perkara ini dijelaskan oleh Jabatan Fatwa Jordan iaitu:

"Para ulama menjelaskan bahawa hasil kutipan sedekah dan wakaf wajib diagihkan kepada niat dan syarat yang telah ditetapkan penderma atau pewakaf. Bahkan haram disalurkan pada apa yang bukan disyaratkan oleh penderma."

Selain itu, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (JPHSWP) kali ke-137 yang bersidang pada 9 hingga 10 Jun 2022 telah memutuskan bahawa:

1 - Hukum menggunakan wang sumbangan orang ramai untuk tujuan kebaikan seperti mempromosi sumbangan adalah harus jika mendapat keizinan daripada penderma.

KEHIDUPAN mewah dan berlebih-lebihan terutamanya daripada orang yang mengutip sumbangan orang ramai sering dipertikaikan. Foto CANVA
KEHIDUPAN mewah dan berlebih-lebihan terutamanya daripada orang yang mengutip sumbangan orang ramai sering dipertikaikan. Foto CANVA

2 - Keizinan daripada penderma boleh diperolehi dengan cara pihak yang mengumpul derma menyatakan secara jelas pada iklan tentang hasrat mereka untuk menggunakan sebahagian daripada duit sumbangan bagi membayar kos promosi dan pengiklanan.

3 - Jumlah dana yang digunakan bagi tujuan promosi hendaklah sekadar keperluan, di samping memastikan duit tersebut digunakan dengan cermat dan memberi kebaikan kepada penderma.

4 - Jika wang telah dikumpulkan, pihak pengumpul dana perlu memaklumkan dan mendapat keizinan daripada penderma terlebih dahulu melalui pelbagai cara yang mampu dilakukan sebelum menggunakan sebahagian daripada dana tersebut untuk membayar kos pengiklanan.