Warga emas parah dipukul

Keadaan mangsa.
Keadaan mangsa.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki warga emas cedera parah dipercayai dipukul oleh individu tidak dikenali ketika berada di tempat kerjanya di Labu di sini dalam kejadian pada petang Sabtu.

Lelaki berusia 64 tahun itu kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar Seremban bagi menerima rawatan lanjut.

Menurut anaknya yang dikenali sebagai Wee Chuan, 37, kejadian kira-kira jam 4.30 petang semasa bapanya yang bekerja sebagai pemandu jentera JCB didatangi seorang lelaki tidak dikenali memintanya memasukkan tanah dalam lorinya.

"Bagaimanapun, bapa enggan menuruti arahan lelaki berkenaan susulan tidak mendapat sebarang arahan daripada majikannya.

"Akibatnya bapa telah dipukul hingga cedera parah, dia sekarang tidak boleh berjalan selain perlu menjalani pembedahan pada malam ini," katanya kepada pemberita di Pusat Khidmat Parlimen Seremban pada Sabtu.

Anak mangsa (dua kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat,turut hadir Kai Yet (tiga kanan) dan ahli Biro Guaman DAP,Lim Chun Weng.
Anak mangsa (dua kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat,turut hadir Kai Yet (tiga kanan) dan ahli Biro Guaman DAP,Lim Chun Weng.

Ujarnya, mereka kini sedang menunggu laporan penuh daripada pihak hospital berhubung kecederaan bapa.

"Apa yang mengecewakan, kami diminta untuk tidak membuat laporan polis oleh pihak berkenaan kerana tidak mahu memanjangkan isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak puas hati sebab bapa mengalami kecederaan parah dan keadaannya selepas ini juga tidak tahu macam mana selain bimbang dengan keselamatan kami keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Biro Guaman DAP Negeri Sembilan, Lee Kai Yet berkata, adalah tidak wajar mangsa diperlakukan sebegitu sehingga mengalami kecederaan parah.

"Kami akan membantu keluarga ini supaya mendapat pembelaan sewajarnya dan kami juga mengesa mana-mana saksi kejadian supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengesan suspek," katanya.

Laporan polis telah dibuat oleh keluarga mangsa di Balai Polis Jalan Campbell, Seremban pada hari kejadian jam 11.29 malam.