Bukan bumiputera kurang cemerlang juga perlu dibantu - Muda
SHAH ALAM - Keputusan membuka peluang pengajian ke Matrikulasi kepada semua kaum merupakan signal jelas bahawa sistem pendidikan negara sebelum ini tidak telus memberi ruang kepada semua pelajar merentas kaum.
Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia Muda (Muda), Amira Aisya Abd Aziz berkata, hakikatnya sistem pendidikan negara masih mengasingkan pelajar bukan bumiputera.
Justeru menurutnya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar disegerakan.
"Bagaimana dengan pelajar bukan bumiputera yang kurang cemerlang? Atau datang dari keluarga yang kurang bernasib baik dan tidak ada peluang pendidikan yang serupa? Kita harus bantu juga mereka.
"Dalam hal ini sangat jelas bahawa keputusan PM perlu dibuat segera. Muda juga selari dalam soal membuka ruang pendidikan kepada semua pelajar.
"Cuma kita harus lihat juga pelajar yang tidak memperolehi keputusan 10A, buka pendidikan negara dan berlaku adil kepada semua," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Ahad, kerajaan memberi jaminan semua pelajar cemerlang yang berjaya mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memohon untuk melanjutkan pengajian ke peringkat martikulasi akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Mengulas lanjut, Amira berkata, isu warna kulit, latar belakang, kaum dan agama tidak boleh menjadi penghalang kepada pelajar untuk berjaya.
"Saya juga lega apabila PM mengiktiraf banyak lagi masalah keadilan dalam pendidikan negara. Banyak perlu dibuat dan diselesaikan. Ini benar.
"Namun buat masa ini, saya ucapkan terima kasih atas keputusan ini. Kita perlu bekerja keras untuk pendidikan negara dan masa depan anak-anak Malaysia, "katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!