Letupan di Yala gugat proses damai
Penduduk Selatan Thai keliru apa sebenarnya dimahukan puak pemisah
LETUPAN bom kereta yang berlaku pada pagi Ahad di hadapan flat polis di daerah Bannang Sata di Yala, Selatan Thai telah menggugat proses damai yang sedang diusahakan di wilayah berkenaan.
Tragedi yang telah mengorbankan seorang wanita, mencederakan lapan anggota polis dan orang awam itu juga telah mencemarkan rekod keselamatan pada tahun 2024 yang sepi daripada sebarang insiden tidak diingini.
Sejak tercetusnya keganasan era baharu di Selatan Thai pada 2005, sebanyak 62 tragedi bom kereta dilaporkan telah berlaku.
Wilayah Narathiwat mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 25 kali, Pattani (17), Yala (16) dan Songkhla (4).
Terdapat juga kes di luar kawasan Narathiwat, Yala dan Pattani iaitu di Pusat Beli-Belah Central Festival di daerah Koh Samui, Wilayah Surat Thani pada tahun 2015 yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas.
Dari kaca mata pihak luar, insiden-insiden letupan yang berlaku makin menguatkan tanggapan bahawa wilayah terbabit sedang bergolak dan perlu dielakkan untuk dikunjungi oleh pelancong.
Sebenarnya, jika difahami, keganasan yang ditimbulkan adalah datang daripada kumpulan yang kononnya mahu menuntut kemerdekaan tapi sebenarnya mereka bukan mewakili kemahuan majoriti penduduk Selatan Thai.
Mereka adalah kumpulan pengganas yang bukan berbeza anutan agama tetapi adalah golongan berfikiran sempit yang ingin mengambil kesempatan daripada situasi di wilayah Selatan Thai.
Bagi yang pernah ke sana, kita akan dapat melihat bahawa masyarakat pelbagai budaya dapat hidup dengan aman dan damai.
Mereka mempunyai persefahaman yang baik, saling bantu-membantu dalam setiap perkara.
Warga Thailand yang beragama Buddha tidak berasa kekok untuk mengambil bahagian dalam pelbagai tradisi masyarakat Melayu Islam seperti program mengacau bubur Hari Asyura, majlis perkahwinan orang Islam dan turut menyumbang untuk pembangunan masjid.
Orang Islam pula tidak berasa janggal menyertai program-program yang dilakukan di dalam rumah ibadat Buddha seperti gotong-royong dan majlis sumbangan kepada orang kurang mampu.
Kepelbagaian yang wujud, tempat pelancongan yang menarik dan aneka makanan yang menyelerakan menjadi kunci ramainya pelancong terutamanya Malaysia hadir ke wilayah berkenaan.
Sesiapa pun jika ditanya antara keamanan dan kekacauan, tidak perlu berfikir panjang mahukan hidup yang bebas daripada segala huru-hara.
Begitu juga dengan penduduk Islam di Selatan Thailand yang mahu menjalani kehidupan dengan tenang bagi membolehkan mereka mencari rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Majoritinya tahu jika keadaan kacau-bilau berterusan, semuanya akan menerima kesannya dan terpaksa hidup menderita.
JIka disoroti, sebenarnya ramai yang masih keliru apa sebenarnya yang dimahukan puak pemisah dan siapa di sebalik gerakan itu.
Ini kerana wujud satu kelompok yang menuntut kemerdekaan dengan menyuarakan suara mereka melalui kain rentang, menconteng dinding bangunan, dan jalan raya.
Wujud pula satu lagi kelompok yang menggunakan kekerasan seperti menggunakan bom untuk membunuh orang awam dan anggota pasukan keselamatan termasuk yang beragama Islam serta turut merosakkan harta benda awam.
Walaupun matlamat mereka sama, adakah penduduk Islam bersama dengan gerakan berkenaan? Jawapannya sudah pasti tidak kerana berbalik kepada nilai Islam sendiri, penganutnya cintakan keamanan dan keselamatan.
Oleh itu, meja rundingan adalah ruang terbaik untuk membuat sebarang tuntutan kepada Kerajaan Thailand seperti mana pendekatan berhemah yang dibuat oleh ulama terkemuka Pattani, Haji Sulong Al-Fatani atau nama penuh Sulong Abdul Kadir.
Pemerintah Thailand juga telah membuka pintu seluas-luasnya untuk berunding dan berusaha memberi layanan terbaik kepada penduduk Islam di Selatan Thailand.
Di meja rundingan nyatakan permintaan yang munasabah selari dengan undang-undang negara itu demi kepentingan umat Islam.
Akhir sekali, situasi di tiga wilayah berkenaan perlu dalam keadaan baik kerana ramai yang mempunyai pertalian kekeluargaan berada dan mencari rezeki di sana.
Derita mereka turut dirasai di sini ibarat cubit paha kiri paha kanan terasa.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!