Anwar baiki ketidakadilan dalam sistem pendidikan negara - Tze Tzin
SHAH ALAM - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan kepada semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum atau latar belakang yang berjaya mendapat keputusan 10A dan ke atas akan mendapat tempat di matrikulasi adalah khabar terbaik buat ibu bapa seluruh negara.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, keputusan tersebut adalah bantuan daripada Anwar yang dinantikan sejak sekian lama apabila banyak kes pelajar cemerlang yang gagal melanjutkan pelajaran ke universiti.
Menurutnya, pengumuman itu sekali gus memberi sinar buat sistem pendidikan negara yang seharusnya mengutamakan kecemerlangan sejak dahulu, menjadi lebih baik untuk masa akan datang.
"Akhirnya PMX Anwar Ibrahim turun tangan untuk membantu. Beliau mengumumkan semua pelajar 10A dan ke atas, tanpa mengira bangsa dan latar belakang akan masuk ke Matrikulasi. Dia melangkah masuk untuk membetulkan ketidakadilan dalam sistem yang meresap selama bertahun-tahun.
"Ini adalah salah satu berita terbaik untuk pelajar yang kecewa. Sistem masih belum sempurna, banyak lagi yang perlu dilakukan. Tetapi, ini adalah langkah pertama ke arah yang betul.
"Terima kasih PMX atas keberanian membetulkan sistem yang menimbulkan perbalahan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Pada Ahad, kerajaan memberi jaminan semua pelajar cemerlang yang berjaya mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memohon untuk melanjutkan pengajian ke peringkat martikulasi akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Dalam pada itu, Tze Tzin yang juga Timbalan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau telah menulis 79 surat rayuan untuk pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat di universiti pada tahun ini.
Katanya, jumlah tersebut hanya sebahagian kecil kes yang diterima sambil mempersoalkan nasib pelajar lain yang tidak berjumpa dan memohon surat rayuan daripadanya.
"Saya menemui kes seorang bapa memberitahu bahawa anak perempuannya menangis patah hati selama beberapa hari kerana tidak berjaya ke universiti.
"Saya percaya semua ibu bapa penyayang berkata perkara yang sama kepada anak-anak 'Jika kamu belajar bersungguh-sungguh, skor A, suatu hari nanti kamu boleh masuk ke universiti'.
"Tetapi bagaimana jika anak-anak bekerja keras, mendapat semua A tetapi masih gagal untuk masuk ke matrikulasi? Terdapat ketidakadilan dalam sistem semasa," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!