Hoe Yean, Rouxin jalani latihan di Denmark menjelang Olimpik Paris
DUA perenang negara, Khiew Hoe Yean dan Tan Rouxin bakal ke Denmark untuk persiapan terakhir sebelum membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik di Paris, hujung bulan ini.
Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low berkata, Hoe Yean dan Rouxin akan memulakan latihan di Denmark pada pertengahan Julai selain berlatih bersama skuad negara itu.
"Kami telah lama merancang untuk kem latihan ini bersama dengan jurulatih kebangsaan Eric Anderson yang berasal dari Denmark dan mempunyai hubungan baik dengan pasukan kebangsaan mereka.
"Mereka akan memulakan kem latihan di sana sebelum ke Paris lima hari sebelum acara bermula,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.
Acara renang akan berlangsung di Paris La Defense Arena dari 27 Julai hingga 4 Ogos.
Andy berkata, latihan di Denmark akan menjadi platform untuk Hoe Yean dan Rouxin menerima bimbingan sewajarnya daripada Anderson memandangkan Hoe Yean kini berlatih di Australia, manakala Rouxin di Johor di bawah bimbingan jurulatih peribadinya.
"Hoe Yean berada di Australia sejak awal tahun ini sebagai sebahagian program latihan Olimpik. Namun, Anderson sentiasa berkomunikasi dan memantau perkembangan mereka,” katanya.
Anderson memulakan khidmatnya dengan skuad renang negara sejak Mac bagi menggantikan bekas jurulatih Chris Martin dari Amerika Syarikat.
Baru-baru ini, MAS memilih Hoe Yean, 21, dan Rouxin, 17, untuk mengisi dua slot wild card badan induk sukan itu Akuatik Dunia.
MAS sedang berusaha menghantar Hoe Yean dan Tan Rouxin untuk beraksi dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki dan 100m kuak dada wanita.
Sementara itu, Pengarah Teknikal (skuad terjun) MAS Bryan Nickson Lomas berkata penerjun negara Nur Dhabitah Sabri berkemungkinan akan menyertai kem latihan di Southend, United Kingdom mulai 9 Julai.
Nur Dhabitah akan menyertai Bertrand Rhodict Lises di Southend selepas penerjun lelaki negara itu menamatkan latihannya di Australia.
Pada Sabtu lepas, Bryan berkata Nur Dhabitah bersedia untuk membuat penampilan Olimpik ketiganya di Paris menerusi lebihan kuota yang tidak digunakan atlet negara lain.
Sebaliknya, Bertrand, 19, ialah atlet negara pertama yang menempah slot secara merit ke Sukan Olimpik 2024.
Pemain Sarawak itu memperoleh tiket Olimpik pertamanya selepas menduduki tempat ke-10 pada separuh akhir acara 10m platform individu lelaki pada Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun tahun lepas. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!