'Demo Rakyat Lawan Anwar': Polis rakam keterangan 11 individu
PUTRAJAYA - Seramai 11 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung himpunan 'Demo Rakyat Lawan Anwar’ di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kesemua saksi itu telah hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya bermula jam 2 petang hingga 4 petang, Isnin.
"Kita akan memanggil Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Che'gubard pada Rabu ini, manakala Tun Faisal Ismail Aziz, tarikh temu janjinya akan diperolehi dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Ahad, media melaporkan seramai 12 individu termasuk penganjur akan dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung himpunan itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, kesemua individu yang telah dikenal pasti itu akan dipanggil dalam masa terdekat.
Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan dibawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!