Sindiket pemalsuan kad UNHCR, bawa masuk etnik Arakan tumpas

Mohd Rosdi menunjukkan kad UNHCR palsu yang ditawarkan kepada etnik Arakan, pada sidang akhbar di Kompleks KDN, Kempas, Johor Bahru pada Isnin
Mohd Rosdi menunjukkan kad UNHCR palsu yang ditawarkan kepada etnik Arakan, pada sidang akhbar di Kompleks KDN, Kempas, Johor Bahru pada Isnin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Satu sindiket memalsukan kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) yang menyasarkan etnik Arakan dari Myanmar tumpas selepas Jabatan Imigresen Johor melakukan serbuan di rumah kedai di Kluang pada Rabu.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, menerusi Ops Serkap pada jam 11.30 pagi hasil risikan dan pemantauan selama dua hari itu pihaknya menahan empat etnik Arakan berusia 26 sehingga 49 tahun.

"Empat etnik Arakan yang ditahan itu merupakan tiga lelaki dan seorang wanita termasuk dalang sindiket itu iaitu seorang lelaki berusia 49 tahun.

"Turut ditemui tiga lagi etnik Arakan yang dikurung dalam sebuah bilik di tingkat dua berusia 35 hingga 49 tahun. Mereka tidak dibenarkan keluar dan kunci dipegang dalang sindiket berkenaan.

"Mereka dipercayai telah sampai ke premis itu sejak dua minggu lalu melalui jalan tikus. Mereka dikurung kerana belum mendapat pekerjaan.

Antara etnik Arakan yang ditahan di sebuah rumah kedai di Kluang pada Rabu dalam serbuan yang dilakukan pihak Imigresen
Antara etnik Arakan yang ditahan di sebuah rumah kedai di Kluang pada Rabu dalam serbuan yang dilakukan pihak Imigresen

"Mereka diarahkan menunggu dalam premis sehingga ada majikan yang akan mengambil mereka bekerja," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Johor di sini pada Isnin.

Beliau berkata, menerusi operasi itu pihaknya merampas dua pasport Myanmar, 12 keping Kad Arakan, sebuah telefon pintar jenama Oppo, helaian Borang Pendaftaran UNHCR dan wang tunai berjumlah RM15,855

Artikel Berkaitan:

Sasaran utama sindiket itu katanya, adalah etnik Arakan yang datang ke Kluang untuk bekerja namun mempunyai masalah dokumen perjalanan.

Katanya, mereka ditawarkan kad UNHCR dengan caj bayaran RM5,000 yang dikeluarkan sindiket yang kononnya akan membolehkan mereka tinggal dan bekerja di negara ini.

"Hasil siasatan awal, sindiket berkenaan dipercayai sudah aktif sejak lima hingga enam tahun lalu dan namun kerana mereka hanya tertumpu kepada etnik Arakan maka sindiket ini tidak mendapat perhatian daripada etnik yang lain," katanya.

Mohd Rusdi berkata, pihaknya akan berhubung dengan pihak UNHCR untuk mendapatkan maklumat lanjut memandangkan terdapat logo UNHCR pada kad berkenaan.

"Saya tidak boleh kata kad ini palsu atau tidak, tetapi yang pasti ia tidak diiktiraf di negara ini," jelasnya.

Tambahnya, semua suspek warga Myanmar disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

Kata Mohd Rusdi lagi, suspek yang juga ejen sindiket itu turut disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670).

"Berpandukan Garis Panduan Nasional mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0, semua mangsa diselamatkan di bawah Seksyen 44 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!