Altimet rayu kerajaan tegas tangani cetak rompak

Altimet sebelum ini pernah menggesa generasi muda untuk sama-sama membanteras cetak rompak digital.
Altimet sebelum ini pernah menggesa generasi muda untuk sama-sama membanteras cetak rompak digital.
A
A
A

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet, merayu kerajaan lebih tegas membanteras cetak rompak digital yang saban hari semakin ganas merosakkan industri kreatif tanah air.

Ujar Altimet, cetak rompak digital kini telah menjadi satu epidemik dan ancamannya lebih besar terhadap kelestarian industri hiburan tanah air.

Sebagai contoh, filem yang mencatatkan kutipan tertinggi tahun ini, Sheriff: Narko Integriti pantas menjadi mangsa apabila babak dalam filem itu sedang ditonton bukannya di panggung wayang atau perkhidmatan TV yang sah, tetapi di laman-laman penstriman haram yang merompak pelaburan para pencipta kandungan secara langsung.

“Saya difahamkan bahawa meskipun Astro telah berusaha keras untuk membanteras jenayah ini dengan menutup 30 kumpulan Telegram yang mempunyai lebih 200,000 pelanggan, pencurian Sheriff: Narko Integriti masih berterusan, seolah-olah ia tidak dapat dibendung lagi,” katanya dalam satu surat terbuka kepada kerajaan Malaysia.

Tambah penyanyi dan komposer itu, masalah ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga di negara-negara luar, namun kerajaan mereka sudah mengambil tindakan sewajarnya untuk mengekang isu cetak rompak digital itu.

Antara negara serantau yang sudah memulakan tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab ini ialah Singapura, Indonesia dan Filipina.

"Bukan Astro sahaja yang mengalami permasalahan ini. Premier League juga turut bekerja keras dalam melawan cetak rompak digital.

"Pada 2024, ia telah berjaya mendapat perintah mahkamah daripada Mahkamah Tinggi Singapura untuk memberi kebenaran kepada syarikat perkhidmatan internet menghalang capaian terhadap 25 laman web penstriman haram yang paling popular di negara terbabit," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Katanya, komitmen teguh Indonesia dalam memerangi jenayah terbabit terserlah dengan penangkapan beberapa individu yang menjadi dalang kepada pengedaran kandungan secara haram serta penghapusan kandungan cetak rompak digital dari platform media sosial.

"Malah kerajaan Indonesia tidak teragak-agak untuk memberi amaran keras terhadap Telegram. Jika ia gagal mengambil tindakan terhadap jenayah dalam talian, menerusi perkhidmatannya, maka Telegram akan dihalang untuk beroperasi di Indonesia.

"Filipina juga sedang mengambil langkah berani untuk mengemaskini Kod Harta Intelek mereka di samping memperkenalkan langkah-langkah penyekatan laman web yang lebih berkesan," ujarnya.

Altimet berkata, di Malaysia, walaupun pindaan terhadap Undang-Undang Hak Cipta pada 2021 membabitkan penggubalan Seksyen 43AA (yang menjadikan penggunaan teknologi penstriman dalam kes pelanggaran hak cipta sebagai satu jenayah) telah dibuat, penguatkuasaannya masih longgar.

Justeru, secara tidak langsung memberi kesan dan menjejaskan bukan saja pengarah filem, tetapi juga pelakon, kru, dan semua yang terlibat dalam seluruh ekosistem pengeluaran dan pengedaran kandungan.

“Setiap wang ringgit yang hilang kepada cetak rompak digital adalah wang ringgit yang boleh dilaburkan semula dalam produksi baru, pengukuhan pemasaran, atau mempelopori kemajuan teknologi dalam industri.

“Jadi sudah tiba masanya untuk Malaysia mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap cetak rompak digital dan melaksanakan langkah-langkah yang ketat serta memastikan penguatkuasaan yang lebih kukuh.

“Tolonglah perjuangkan isu ini. Tolonglah berdiri teguh melawan cetak rompak digital dan lindungi integriti demi masa depan kreativiti Malaysia.

“Industri kreatif kita bukan saja perlu bertahan tetapi juga berkembang supaya ia dapat menyumbang kepada ekonomi, malah, memperkayakan warisan budaya kita,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!