Istiadat pertabalan Agong: Penganjur konsert dinasihat pinda tarikh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Penganjur konsert artis luar negara (ALN) yang dijadual berlangsung pada 20 Julai ini dinasihati untuk meminda tarikh penganjuran acara hiburan itu ke tarikh baharu yang bersesuaian.

Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) menerusi kenyataan memaklumkan, tarikh tersebut bertindih dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim.

"Jawatankuasa ini telah menerima sebanyak lima permohonan penganjuran konsert melibatkan ALN pada tarikh berkenaan dan sehubungan itu, pihak penganjur dinasihati untuk tidak mengadakan konsert sebagai menghormati istiadat pertabalan," katanya pada Isnin.

Ujar JK-PUSPAL, Garis Panduan PUSPAL (GPP), Perkara 16.1(f) menyatakan mengenai Tempoh Larangan Mengadakan Persembahan Konsert Artis Luar Negara dan Persembahan Luar Negara Berskala Besar.

"Penganjur adalah tidak dibenarkan untuk mengadakan persembahan konsert ALN dan berskala besar pada hari-hari lain yang diputuskan tidak sesuai oleh kerajaan atau kerajaan negeri," jelas Jawatankuasa itu.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumuman Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan dilangsungkan pada 20 Julai.

Beberapa acara bersempena istiadat berkenaan juga telah dirancang seperti majlis bacaan yasin dan doa selamat, khutbah khas dan sebagainya.

Artikel Berkaitan: