Lapan negara sertai kejohanan Powerboat Royal Pahang F3000
LAPAN negara akan berentap dalam Kejohanan Powerboat Royal Pahang F3000 yang bakal berlangsung di Sungai Kuantan, bermula 2 hingga 4 Ogos ini sempena Pesta Kuantan 188.
Kejohanan bakal disertai pemandu tempatan dan antarabangsa dari Brazil, New Zealand, Amerika Syarikat, Brunei, Singapura, Papua New Guinea, Australia selain Malaysia dengan dua kategori dipertandingkan iaitu 1.5 kilometer perlumbaan sirkit dan perlumbaan drag.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, acara berkenaan julung kali dianjurkan sempena pesta itu yang menjangkakan kehadiran lebih 100,000 pengunjung.
"Acara yang melibatkan peserta tempatan dan antarabangsa itu dijangka dapat menarik minat pelancong tempatan dan luar negara ke Pahang, secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negeri ini.
"Saya merasakan kejohanan ini juga akan menjadi tumpuan orang ramai yang ingin melihat acara ini dengan lebih dekat," katanya pada sidang media Pesta Kuantan 188 di sini hari ini.
Pesta Kuantan 188 diadakan sempena meraikan hari keputeraan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai dan isteri Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 5 Ogos.
Berlangsung di pekarangan Menara Kuantan, antara acara lain yang bakal menjadi tarikan termasuk persembahan konsert artis tempatan dan luar negara, perlumbaan K188 Fun Race dan pameran K188 Cars and Coffee yang menghimpunkan 110 buah kereta antik. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!