Akta 852 akan dikuatkuasakan sepenuhnya Ogos depan - KKM

KKM akan menguatkuasakan sepenuhnya peraturan dan perintah di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), Ogos depan. Gambar hiasan
KKM akan menguatkuasakan sepenuhnya peraturan dan perintah di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), Ogos depan. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menguatkuasakan sepenuhnya peraturan dan perintah di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), Ogos depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, lima peraturan itu adalah pendaftaran, penjualan, pembungkusan dan pelabelan serta satu perintah berkaitan larangan merokok di tempat awam hendaklah dikuatkuasakan serentak dengan Akta 852 termasuk rokok elektronik.

"Tiga peraturan sudah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan dua lagi peraturan dan satu perintah tambahan kini dalam proses kelulusan.

"Peraturan dan Perintah akan dikuatkuasakan bersama Akta 852 pada Ogos 2024 apabila semuanya teratur. Insya-ALLAH tiada tangguh lagi," katanya menerusi aplikasi X.

Terdahulu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan segera mewartakan peraturan untuk mengawal selia industri vape bagi memastikan produk berkenaan tidak dipromosi atau dibeli golongan bawah umur.

Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, langkah segera itu perlu diambil susulan terdapat kes mangsa dikaitkan dengan kesan pengambilan rokok elektronik itu termasuk kecederaan kepada paru-paru yang turut dilaporkan melibatkan kanak-kanak.

Tambah Dr Dzulkefly, beliau memahami kebimbangan pelbagai pihak disebabkan kelewatan pelaksanaan Akta 852.

"Saya benar-benar memahaminya. Oleh itu, kami minta empati anda bahawa KKM melakukan yang terbaik untuk mendapatkan pengesahan AGC berhubung kelulusan peraturan dan perintah ini," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!