Tajikistan, Lubnan dan Filipina sertai Pestabola Merdeka

Pestabola Merdeka akan berlangsung pada September.
Pestabola Merdeka akan berlangsung pada September.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Pestabola Merdeka edisi ke-43 akan dilangsungkan pada 2 hingga 10 September depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, selain Malaysia, tiga pasukan lain telah mengesahkan penyertaan iaitu Lubnan, Filipina dan juara bertahan, Tajikistan.

"Ini merupakan kali pertama Pestabola Merdeka berjaya dianjurkan secara berturut-turut selepas tempoh 16 tahun, iaitu kali terakhir diadakan berturut-turut pada 2006, 2007 dan 2008, sebelum ia diadakan pada 2013 dan kembali selepas 10 tahun penganjurannya pada edisi tahun lalu, 2023.

"FAM berharap para penyokong Harimau Malaya dapat sama-sama memeriahkan lagi dengan dengan hadir ke Stadium Nasional memandangkan Edisi Ke-43 ini berlangsung ketika Bulan Kebangsaan iaitu selepas Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan menjelang Hari Malaysia pada 16 September," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Edisi Ke-42 tahun lalu yang turut berlangsung di Stadium Nasional, skuad Harimau Malaya yang berjaya menewaskan India 4-2 pada separuh akhir pada 13 Oktober 2023.

Namun, skuad kendalian Kim Pan-gon itu tewas kepada Tajikistan 0-2 pada aksi final untuk berpuas hati sebagai naib juara.

Menurut Noor Azman, tarikh majlis undian Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 akan dimaklumkan kemudian bagi menentukan pasukan mana yang bakal bertembung pada separuh akhir.

"Selain itu, tarikh bagi hari perlawanan satu untuk separuh akhir dan hari perlawanan dua bagi final dan penentuan tempat ketiga turut akan ditetapkan nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!