Indonesia catat ketibaan pelancong asing tertinggi sejak pandemik
JAKARTA - Ketibaan pelancong asing ke Indonesia mencecah 5.2 juta dari Januari hingga Mei 2024, angka tertinggi yang direkodkan sejak bermulanya pandemik COVID-19 pada 2020, lapor agensi berita ANTARA yang memetik Statistik Indonesia.
"Jumlah keseluruhan ketibaan pelancong asing dalam lima bulan pertama 2024 adalah yang tertinggi dalam empat tahun terakhir, sejak 2020," kata Pemangku Ketua Setiausaha BPS, Imam Machdi, pada sidang media di Jakarta pada Isnin.
Jumlah ketibaan pelancong asing ke negara ini dalam tempoh Januari-Mei 2020 hanya mencapai 2.9 juta. Angka itu menurun kepada hanya 604,000 dalam tempoh yang sama pada 2021.
Jumlah ketibaan pelancong asing kemudian meningkat kepada 997,000 pada 2022 dan seterusnya mencapai 4.2 juta dalam tempoh Januari hingga Mei 2023.
Pada Mei 2024 sahaja, jumlah ketibaan pelancong asing di Indonesia adalah sebanyak 1,145,499, peningkatan sebanyak 7.36 peratus bulan ke bulan dan peningkatan sebanyak 20.11 peratus tahun ke tahun.
Pelancong dari negara jiran, Malaysia mendominasi jumlah pelancong yang melawat Indonesia, iaitu sebanyak 17 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong asing yang direkodkan pada Mei 2024, diikuti oleh pelancong dari Australia (12 peratus), Singapura (9.7 peratus) dan China (8.6 peratus).
"Ketibaan pelancong dari Malaysia meningkat sebanyak 17.24 peratus secara bulanan, manakala secara tahunan, ia meningkat sebanyak 18.26 peratus," kata Machdi.
Sebanyak 544,000 pelancong memasuki Indonesia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai, Bali, didominasi oleh pelancong dari Australia.
BPS melaporkan pada Mei 2024, purata tempoh penginapan pelancong asing, termasuk pelancong asing yang melintasi sempadan di Indonesia adalah selama 7.51 malam. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!