[VIDEO] PN sangkal dakwaan isu air Sungai Bakap tak pernah dibawa ke Sidang DUN
SUNGAI BAKAP - Calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Abidin Ismail menyangkal dakwaan yang mengatakan isu air tidak pernah diangkat ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Menurut Abidin, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff telahpun memperjuangkan isu itu sebelum ini semata-mata mahu membela nasib penduduk yang berdepan masalah berkenaan sejak kira-kira enam tahun lalu.
"Saya adalah pegawai khas arwah (Nor Zamri) memang kita buat soalan dalam Sidang DUN pada tahun lepas, bulan 11 (November ) kalau tuan-tuan tidak percaya boleh tengok dalam Tiktok yang dibawa oleh arwah isu tentang air.
"Masa tu masalah air yang dibawa telah lima tahun dan kini telah memasuki enam tahun," katanya kepada media semasa berkempen di Simpang Ampat di sini pada Isnin.
Beliau menjawab pertanyaan media berhubung kenyataan pemimpin DAP yang mendakwa bahawa isu air tidak pernah dibawa ke Sidang DUN Pulau Pinang selama ini.
"Kita akan terus menjadi pendesak, semak dan imbang kepada kerajaan...jika mereka sama-sama kerajaan akan diam sama-sama mereka, kita (pembangkang) akan cuba terus mendesak,"katanya.
Beliau dalam masa sama turut mengharapkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendapatkan bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar kepada penduduk Sungai Bakap yang berdepan krisis bekalan tersebut.
"Sanusi telah beri cadangan untuk menjual air terawat LRA Lubuk Buntar, paip dah ada dan itu adalah cadangan terbaik namun telah ditolak mentah-mentah kita tidak boleh buat apa,"katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dakwaan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang mengatakan bahawa Nor Zambri tidak pernah berbahas isu air dalam Sidang DUN sebelum ini.
Rayer dalam pentas ceramah Perpaduan yang diadakan pada Ahad menjelaskan bahawa beliau tidak pernah membaca sebarang laporan akhbar mahupun melihat rakaman video perbahasan oleh bekas wakil rakyat Pas itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!