Beri kuota khas untuk pelajar India di matrikulasi - Sivaraj

C Sivaraj
C Sivaraj
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disarankan agar memperuntukkan satu kuota khas sebanyak 2,500 tempat kepada pelajar India di program matrikulasi.

Ahli Dewan Negara, Datuk C Sivaraj berkata, langkah itu bagi memastikan pelajar India tidak terus terpinggir dan mendapat peluang yang setara dalam pendidikan tinggi.

Katanya, pelajar yang mendapat 10A ke atas mempunyai banyak pilihan seperti tawaran Unit Pusat Universiti (UPU), Asasi, biasiswa, dan lain-lain.

"Namun, bagi pelajar yang mendapat 6A hingga 9A, matrikulasi merupakan platform yang mudah bagi mereka untuk memasuki universiti, khususnya ke kursus kritikal seperti perubatan, pergigian, dan farmasi.

"Kebanyakan pelajar India ambil sembilan subjek sahaja. Jika mereka tidak mengambil Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil maka wajarlah kerajaan mempertimbangkan pelajar dari kategori 6A hingga 9A selepas permohonan pelajar dengan 10A diberi tempat," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semua pelajar yang mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dijamin tempat dalam program matrikulasi tanpa mengira latar belakang mereka.

Tambah Sivaraj, walaupun inisiatif itu bertujuan untuk memberi peluang kepada semua pelajar cemerlang namun dikhuatiri pelajar India akan terpinggir dan teraniaya.

Ujarnya, populasi pelajar bukan bumiputera, khususnya pelajar Cina jauh lebih ramai berbanding pelajar India.

Artikel Berkaitan:

"Ini bermakna, daripada 10 peratus kuota yang diperuntukkan kepada bukan bumiputera, majoritinya akan dikuasai oleh pelajar Cina, meninggalkan sedikit ruang untuk pelajar India.

"Sudah sedia maklum bahawa pelajar India sebelum ini juga sukar untuk mendapatkan tempat di matrikulasi, dan kini keadaan ini akan bertambah sukar, " jelasnya.